Ibu Tyzo SuriaFM meninggal dunia



 

Ibu penyampai radio Suria FM, Tyzo iaitu Hasnah Shaari, 80, menghembuskan nafas terakhir di Ipoh, Perak, jam 7 malam tadi.

Mengesahkan khabar duka itu, Tyzo memaklumkan punca kematian ibunya yang juga bekas guru itu masih belum dapat dipastikan.

“Keadaan kesihatan arwah merosot, sejak kebelakangan ini. Saya mensyaki arwah ada penyakit gastrik.

“Saya dimaklumkan ambulans datang ke rumah selepas arwah mengalami tekanan darah rendah. Belum sempat dibawa ke hospital, tekanan darahnya kembali normal.

“Bagaimanapun, arwah menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 7 malam,” katanya.

 



Tyzo atau nama sebenarnya, Tuah Zolqarnain Idris berkata, sehingga kini, masih terkejut dengan berita pemergian wanita kesayangannya itu kerana baru sahaja bertemu arwah pada Sabtu lalu.

“Saya masih lagi tak percaya emak sudah tiada. Kali terakhir, saya bertemu arwah pada Sabtu lalu.

“Saya hanya balik sekejap memandangkan saya perlu berkerja pada keesokan hari. Masih terbayang dalam ingatan arwah melambai tangan sebelum saya berangkat pulang. Tak sangka itu adalah lambaian terakhir darinya.

“Walaupun rasa sedih dan terkilan tidak di sisi arwah saat akhir, saya reda dengan ketentuan Allah,” luahnya dalam nada sebak.



Ditanya butiran pengebumian jenazah, calon Top 5 kategori Penyampai Radio Popular Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 itu memberitahu, perkara itu masih belum diputuskan lagi.

“Walaupun tinggal di Ipoh, tetapi adik beradik lain memberi cadangan untuk dikebumikan arwah berdekatan dengan pusara arwah ayah di kampung Bukit Cupak, Parit.

“Namun, itu hanya perancangan sahaja. Tak tahulah kalau ada perubahan pada saat akhir,” kata Tyzo.

Tyzo turut memuat naik berita pemergian arwah ibunya dalam Instagram (IG) rasmi radio Suria FM. Rata-rata peminat penyampai segmen Suria Petang itu mendoakan tabah menghadapi ujian itu.

BHOnline





Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker