Jaga-Jaga Senariounion tanpa Lan Pet Pet

 

SENARIO bukan satu nama yang asing dalam dunia komedi tanah air. Sebut sahaja nama mereka, automatik babak-babak sitkom lakonan mereka kembali menggamit kenangan peminat.

Kini, kerinduan peminat setia kumpulan pelawak ini bakal terubat apabila sebuah filem berjudul Jaga-Jaga Senariunion akan ditayangkan menerusi Astro First tidak lama lagi.

Filem yang menghimpunkan semula barisan anggota asal Senario iaitu Wahid, Azlee, Saiful Apek, Yassin, Hamdan dan Ilya itu telah memulakan penggambaran sejak pertengahan Disember lalu di sekitar Selangor.

Menurut pengarahnya, Aziz M. Osman, keputusan membikin semula jenaka Senario menerusi naskhah filem dirancang lama, namun tertangguh akibat pandemik Covid-19.

“Filem ini tidaklah dihasilkan secara mengejut kerana sudah lama dirancang ditambah pula permintaan yang tinggi daripada Senario.

Filem ini juga dihasilkan berdasarkan kerinduan daripada peminat mereka yang masih inginkan jenis lawak Senario.

PLATFORM

“Bukan hendak cakap lawak sekarang tiada kualiti tetapi Senario mempunyai kelompok peminat tersendiri, makanya terhasillah filem ini untuk mengubat kerinduan ramai,” katanya Aziz di lokasi penggambaran Jaga-Jaga Senariounion di Jannah Wedding Place, Beranang baru-baru ini.

Tambah Aziz, dia tiada niat untuk mengambil kesempatan daripada populariti yang dimiliki Senario pada hari ini.

Namun, idea penghasilan naskhah berkenaan bermula daripada pemerhatian terhadap fenomena filem-filem Senario yang pernah menggegarkan dunia perfileman tanah air suatu ketika dahulu.

“Bukan semata-mata untuk mengaut kesempatan tetapi ini merupakan idea baharu yang tercetus dengan menggabungkan tiga filem awal Senario iaitu Senario The Movie, Senario Lagi dan Lagi-Lagi Senario.

“Itu tidak bermakna saya labelkan filem Senario lain tidak bagus cuma kurang elemen ‘wow’ jika hendak bandingkan dengan tiga naskah awal. Jadi, saya himpunkan semula pelakon daripada tiga filem tersebut.

“Harap filem ini akan ditayangkan dalam masa terdekat agar momentum kerinduan tidak pudar,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Saiful Apek pula menyifatkan penghasilan Jaga-Jaga Senariounion menjadi platform untuk kembali beraksi bersama anggota Senario yang amat dirindui.

“Orang pandang filem ini mengubat kerinduan tetapi bagi kami, ini peluang untuk berkumpul semula. Bukan senang untuk kami dapat momen sebegini memandangkan semua sibuk dengan kerjaya masing-masing.

“Alhamdulillah, kami semua masih bernafas dan diberi peluang untuk berkumpul semula,” kata Apek yang kini kembali hangat menerusi Gegar Vaganza musim kelapan bersama Yassin.

TIADA LAN PET PET

Ditanya tentang ketiadaan Lan Pet Pet dalam senarai Senario kali ini, Aziz memberitahu, pihaknya sudah menghubungi Lan, namun atas komitmen kerja, adik ipar kepada aktres Rozita Che Wan itu terpaksa menolak tawaran projek tersebut.

“Kami faham dia bukan berniat untuk menolak tetapi mempunyai kerja lain yang perlu diutamakan. Sehingga penggambaran babak terakhir, kami masih berusaha mendapatkannya, namun tidak berhasil. Mungkin tiada rezeki kami untuk bersamanya kali ini,” ujar Aziz.

PELAKON GANTI

Ditanya adakah perkara tersebut berlaku disebabkan faktor lokasi, Aziz memberitahu, terdapat ahli kumpulan yang tinggal di negeri lain, namun sanggup ke Kuala Lumpur demi tuntutan kerja.

“Wahid dan Hamdan bukan menetap di Kuala Lumpur tapi di Ipoh, Perak. Namun, untuk penggambaran mereka boleh datang sini,” tambah Aziz.

Seorang lagi anggota Senario, Azlee pula menjelaskan, watak untuk Lan atau Mazlan sudah digarap oleh Aziz, tetapi akhirnya diberikan kepada orang lain disebabkan penolakan Lan.

“Karakternya masih ada tetapi diganti dengan pelakon lain. Siapakah dia, tontonlah filem ini.

“Walaupun kurang seorang ahli, saya tetap bersyukur kerana masih diberi peluang untuk berkumpul semula dengan anggota yang lain.

“Ini merupakan reunion yang sangat menggembirakan kami,” tuturnya.

Selain anggota Senario, filem tersebut turut dibarisi pelakon-pelakon lain seperti Syanie, Prono, Am Raja Lawak, Farisha, Badrul Shah dan Bobby Kiran.

kosmo

Leave a Reply