Beli Patin Muncung harga tinggi, buat induk

 

Jabatan Perikanan Pahang sedia membeli ikan Patin Muncung hidup untuk dijadikan induk pada harga lebih tinggi berbanding harga pasaran semasa.

Harga semasa spesies berkenaan yang semakin sukar ditemui di negeri ini mencecah RM500 sekilogram.

Pengarahnya, Abdullah Jaafar berkata, pihaknya terpaksa bertindak membeli Patin Muncung pada harga lebih tinggi daripada harga pasaran semasa.

Beliau berkata, Pusat Pengembangan Akuakultur Perlok (PPAP), Jerantut sudah lama berusaha untuk mendapatkan ikan spesies berkenaan bagi dijadikan induk namun hingga kini tidak berjaya.

Katanya, difahamkan sejak PPAP diwujudkan usaha menghasilkan benih Patin Muncung tidak dapat dilakukan berikutan ketiadaan induk walaupun pelbagai usaha sudah dilakukan.

“Jalan terakhir dilakukan ialah dengan cara menawarkan harga lebih tinggi daripada harga pasaran semasa.

“Saya merayu kepada nelayan darat di beberapa daerah di negeri ini seperti Jerantut, Lipis, Temerloh, Bera dan Raub supaya dapat menjual Patin Muncung hidup kepada jabatan sekiranya mereka berjaya menangkap ikan berkenaan.

“Kerjasama daripada nelayan darat sahaja dapat membantu jabatan menghasilkan benih ikan spesies berkenaan yang kini hampir pupus,” katanya.

Abdullah yakin sekiranya PPAP mempunyai induk Patin Muncung, tidak mustahil jumlah ikan spesies berkenaan kembali banyak di beberapa sungai utama di negeri ini.

“Masa depan Patin Muncung boleh dikatakan kini bergantung sepenuhnya daripada nelayan darat, mereka sahaja yang berpeluang menangkap ikan spesies berkenaan menggunakan jaring termasuk memancing.

“Harga ikan sungai ini antara yang begitu tinggi disebabkan permintaan menggalakkan, justeru usaha pembiakan perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh,” katanya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button