Resepi sambal tumis udang petai mudah, ringkas dan lazat!

Masa Penyediaan: 15 minit, Masa Memasak:20 minit, Jumlah Hidangan:5 orang
Resepi Oleh: Che’ Nom

Resepi Sambal Tumis Udang dan Petai, hidangan yang cukup membuka selera terutamanya buat penggemar ulam petai. Walaupun petai mempunyai bau yang kurang menyenangkan, tapi rasanya sedap dan mempunyai khasiat yang sangat tinggi seperti mengurangkan risiko tekanan darah tinggi, anemia (kerana kandungan vitamin B6 yang tinggi di dalam petai) dapat membantu stimulasi darah merah dan juga beberapa khasiat lain.

Kombinasi udang dan petai juga sangat terbaik. Kunci utama untuk sambal yang sedap ialah sambal harus dimasak di dalam minyak yang banyak dan harus ditumis sehingga pecah minyak.



Bahan-Bahan:
500 gram udang
1 mangkuk ulas petai
1 batang serai, dititik atau ketuk
1 mangkuk minyak masak
1 biji bawang besar, hiris bulat
3 sudu air asam jawa
2 sudu besar sos tiram
Bahan untuk kisar halus:
15-20 biji cili kering, buang biji dan rebus
1 biji bawang besar
4 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
2 inci halia
Cara Penyediaan:
Buang kulit dan bersihkan udang.
Panaskan minyak di dalam kuali dan tumis bahan kisar halus sehingga pecah minyak.
Jika sambal agak kering, tambahkan sedikit air dan kacau sehingga sambal betul-betul masak.
Masukkan air asam jawa dan sos tiram kemudian diikuti serai, udang, petai dan bawang besar.
Tambahkan garam dan gula secukup rasa.
Angkat dan hidangkan bersama nasi panas.
Tips:
Udang jangan terlebih masak kerana isinya akan menjadi keras, kecut dan tidak sedap. Memadai dengan hanya kacau beberapa minit di dalam sambal dan apabila isinya sudah bertukar menjadi merah, tutup api.

Resepi Che Nom

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button