Calon BN Bukit Permai lawat mangsa banjir kilat

Kulai: Calon Barisan Nasional (BN) Bukit Permai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berkempen sambil melawat mangsa banjir kilat di Kampung Pertanian di sini hari ini.

Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, ketika berkempen di sekitar kawasan Kulai, dia difahamkan perkampungan berdekatan dilanda banjir kilat.

Menurutnya, tanpa berfikir panjang dia ke lokasi kejadian bagi meninjau keadaan di situ.



“Saya difahamkan kejadian berkenaan pernah berulang sebelum ini.

“Kejadian berlaku jam 3 petang membabitkan lima rumah.

“Walaupun sibuk mengalihkan barangan, mangsa banjir menyambut baik kedatangan saya,” katanya.

Mohd Jafni berkata, berdasarkan pengalamannya menjadi bekas ketua whip sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT), dia menghubungi pelaksana projek pembangunan berkenaan bagi menyalurkan aduan.



“Saya difahamkan kejadian berpunca daripada sistem saluran dan diharap ia dapat dinaik taraf.

“Sekiranya saya diberi mandat bergelar wakil rakyat, saya akan pastikan penduduk kampung yang terjejas dengan masalah banjir kilat dibantu dan permasalahan diatasi,” katanya.

Mohd Jafni yang turut berkempen dari rumah ke rumah berkata, dia menerima sambutan baik daripada penduduk berbilang bangsa sekitar ketika berkempen.

“Orang ramai menerima Barisan Nasional (BN) kerana yakin calonnnya seseorang yang berpengalaman dalam menyantuni rakyat.



“Saya mengenal pasti beberapa isu dihadapi penduduk termasuk isu kesesakan lalu lintas di simpang masuk ke Bandar Putra, Perumahan golongan B40 dan isu capaian internet,” katanya.

Mohd Jafni menerima persaingan daripada calon MUDA, Azrol Rahani, Tosrin Jarvanthi (PN) dan Mokhtar Abdul Wahab (Pejuang).

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button