MySejahtera masih merah, dah pergi ke restoran

IPOH: Lelaki dikompaun RM1,000 selepas melanggar perintah kuarantin selepas disahkan positif Covid-19 dengan mengunjungi sebuah restoran di Jalan Medan Ipoh 2, dekat Bandar Baru Medan, di sini, malam tadi.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Cawangan Inspektorat dan Perundangan, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak, Azahari Man berkata, lelaki berusia lingkungan 30-an terbabit dikesan melakukan kesalahan itu apabila aplikasi MySejahtera pada telefonnya masih menunjukkan status warna merah.

“Lelaki itu dikompaun ketika penguat kuasa kesihatan sedang menjalankan Operasi Penguatkuasaan Larangan Merokok serta Penguatkuasaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342) di sekitar Ipoh, malam tadi,” katanya dalam sidang media selepas operasi berkenaan.

Turut hadir, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Bahagian Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit, Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Noraryana Hassan.

Sebanyak 215 premis di tempat tumpuan utama dilawati 54 penguat kuasa KKM dan empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terbabit dalam operasi malam itu.

Sementara itu, beliau berkata, dalam operasi itu sejumlah RM27,000 membabitkan 27 kompaun dikeluarkan bagi pelanggaran Akta 342, manakala kompaun keseluruhan bernilai RM20,250 dikeluarkan bagi kesalahan berkaitan Peraturan -Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

“Operasi diadakan bagi memastikan pematuhan larangan merokok terutama di tempat (premis) makan, kompleks beli belah dan tempat.

“Kebanyakan alasan yang selalu diberikan pesalah adalah tidak tahu premis makanan sebagai kawasan larangan merokok sedangkan sepatutnya perkara ini tidak berlaku memandangkan peraturan mengenainya sudah diwartakan sejak 2004 lagi,” katanya.

Menyifatkan kebanyakan kesalahan dilakukan golongan belia, Azahari berkata, operasi diteruskan sehingga esok dengan sasaran membuka mata masyarakat supaya lebih patuh peraturan yang dikuatkuasakan mengenainya.

Katanya, operasi sama dijalankan serentak membabitkan 11 daerah di Perak.

Menurutnya, sebarang aduan berkaitan merokok di tempat awam boleh disalurkan melalui WhatsApp di talian 010-860 8949.

Harian Metro

Leave a Reply