Gaji minimum RM1,500 dalam sebulan atau dua bulan lagi

KUALA LUMPUR: Gaji minimum RM1,500 mungkin dilaksanakan dalam tempoh sebulan atau dua bulan lagi, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Perkara itu dimaklumkan beliau ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Saravanan berkata, pelaksanaan gaji minimum itu mendapat sokongan penuh Jemaah Menteri yang berbincang mengenai tiga minggu berturut-turut.

“Saya cukup prihatin dan kerajaan berbincang perkara ini malah Jemaah Menteri bincang perkara ini tiga minggu berturut-turut dan Perdana Menteri serta Jemaah Menteri bersetuju untuk kita menaikkan gaji minimum dengan kadar yang segera. Mungkin dalam masa sebulan atau dua bulan.

“Kita tahu (Yang Berhormat) Port Dickson pun pernah duduk dalam Jemaah Menteri. Apabila kita nak umumkan gaji minimum, saya perlu mendapatkan mandat Jemaah Menteri, maka masa terdekat itu dalam sebulan atau dua bulan, kita akan buat,” katanya.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, pihaknya kini di peringkat akhir dalam membuat kajian berhubung perkara kerana tidak mahu pelaksanaan gaji minimum kelak menyebabkan kadar pengangguran meningkat.

Katanya, kajian itu membabitkan kelonggaran untuk diberikan kepada sektor tertentu dalam melaksanakan gaji minimum.

“Seperti mana saya sebutkan sebelum ini, kita di peringkat akhir di mana kita sedang mengkaji. Kita lihat dari segi pengangguran, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama adalah 5.3 peratus, sekarang turun kepada 4.2 peratus.

“Jadi, kita tidak mahu sebarang tindakan kerajaan menambah (kadar) pengangguran. Kita sedang kaji sektor mana yang boleh diberi sedikit kelonggaran.

“Apabila kita umum gaji minimum RM1,500 nanti, saya tidak mahu majikan mengambil kesempatan mengurangkan jumlah pekerja atas alasan perniagaan mereka merosot,” katanya.

Terdahulu, Anwar yang juga Ketua Pembangkang mencelah jawapan Saravanan berhuhung isu pengangguran dengan bertanyakan tarikh gaji minimum baharu akan dilaksanakan.

“Gaji minimum ini bila nak dilaksanakan, kata masa terdekat, adakah tahun 2026 atau bila?” soalnya.

Berita Harian

Leave a Reply