SPRM reman seorang individu bantu siasatan

 

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang lagi individu bagi membantu siasatan berhubung nilai projek berjumlah RM132 juta membabitkan sebuah institut berkaitan automotif dalam negara.

Suspek lelaki difahamkan adalah penasihat kanan sebuah syarikat yang dipercayai memberi suapan berjumlah RM5 juta sebagai balasan bagi syarikat di bawah kawalannya untuk mendapat geran projek.

Penahanan terbaharu itu menjadikan seramai 10 individu ditahan termasuk seorang lelaki bergelar Datuk.

SEKSYEN 17(a) AKTA SPRM 2009


Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Tan Kang Sai yang dihubungi mengesahkan tangkapan dan berkata, suspek ditahan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, perintah reman selama empat hari terhadap suspek lelaki berusia 36 tahun dikeluarkan Majistret Tuan Shah Wira Abdul Halim bermula hari ini sehingga 1 April 2022 di Mahkamah Majistret, Putrajaya, hari ini.

Khamis lalu, sembilan individu termasuk seorang bergelar Datuk ditahan reman oleh SPRM bagi membantu siasatan berhubung nilai projek berjumlah RM85 juta membabitkan sebuah institut berkaitan automotif di negara ini.

Semua suspek yang ditahan adalah empat pemilik syarikat dan masing-masing seorang penasihat perubatan, akauntan, pengarah syarikat, ketua eksekutif dan ketua pegawai operasi.

Dua suspek lelaki yang direman enam hari itu dipercayai meminta dan menerima suapan lebih RM14.9 juta daripada tiga lagi suspek, sebagai balasan membantu syarikat mereka mendapat geran menerusi tiga syarikat lain antara 2018 hingga 2020.

Leave a Reply