Ayam segar di Johor naik sehingga RM10kg

JOHOR BAHRU: Harga ayam segar di bandar raya ini naik kepada RM10 sekilogram (kg) bermula semalam, sekali gus dijual melebihi harga siling ditetapkan kerajaan iaitu RM8.90kg.

Tinjauan pasar basah utama di Pandan dan Larkin, di sini, mendapati kebanyakan penjual tidak mematuhi harga siling ditetapkan kerajaan dan menjualnya antara RM9.50 hingga RM10kg iaitu antara 60 sen hingga RM1.10 sen lebih tinggi.

Walaupun harga semakin mahal, pengguna dilihat berebut-rebut membeli kerana stok ayam segar yang dijual tidak banyak walaupun belum waktu tengah hari.



Peniaga ayam, Hafizul Mohamad, 40, berkata peniaga ayam segar kini semakin tersepit kerana menerima bekalan pada harga tinggi iaitu RM8.60kg daripada pembekal.

Beliau berkata, ia menyebabkan kebanyakan peniaga di bandar raya ini tidak dapat mematuhi harga siling ayam segar yang ditetapkan kerajaan.

RM 8.90/KG TERMASUK KOS PENGANGKUTAN

“Peniaga menerima harga ayam segar RM8.60kg merangkumi kos pengangkutan sebanyak RM1 setiap kg. Kami terpaksa membayar kosp pengangkutan sejak kerajaan menguatkuasakan harga kawalan ayam 5 Februari lalu, sedangkan sebelum ini kami tidak dikenakan kos itu (pengangkutan).

“Macam mana peniaga nak jual ayam segar pada harga RM8.90kg mengikut harga kawalan, sedangkan harga ayam pun sudah RM8.60kg.



Kami peniaga ayam semakin tersepit kerana sudahlah stok ayam segar kini semakin terhad dan tidak cukup, malah harga ayam diterima daripada pembekal pun tinggi.

“Jika dulu setiap kali Ramadan peniaga dapat jual sehingga 500 ekor ayam sehari, namun kini stok ayam tidak cukup dan semakin berkurangan. Pembekal kini ‘mencatu’ bekalan ayam kepada peniaga menyebabkan kami hanya menerima separuh daripada pesanan yang dibuat. Seperti saya contohnya, pesan 500 ekor ayam namun hanya diberi 200 ekor,” katanya ketika ditemui.

Pada 5 Februari lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menetapkan harga siling runcit ayam standard RM8.90kg di Semenanjung.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata,



harga itu akan dikuatkuasa mulai 5 Februari sehingga 5 Jun depan iaitu selama 121 hari bagi menjamin kestabilan harga ayam dan makanan yang berkaitan harga mentah itu.

Sementara itu, pengguna yang ditemui turut melahirkan rasa kecewa harga ayam yang mahal selain stoknya yang berkurangan.

Penjawat awam, Fairuz Talib, 34, berkata beliau terkejut apabila mendapati harga ayam segar naik mendadak kepada RM10kg.

“Saya sebenarnya dari Kuala Lumpur dan pulang ke kampung bercuti menyambut Ramadan. Di Kuala Lumpur harga ayam rasanya tidak pernah mencecah lebih RM9kg, jadi saya terkejut apabila beli ayam tadi (semalam) RM10kg.



“Kenaikan harga ayam ketika Ramadan amat tidak munasabah dan membebankan rakyat,” katanya.

Pesara kerajaan, Manan Abd Hamid, 76, berkata stok ayam juga dilihat semakin berkurangan dan hampir habis ketika beliau sampai ke pasar kira-kira jam 12 tengah hari.

“Peniaga mendakwa pembekal beri stok ayam dalam jumlah yang sedikit dan harganya pula mahal menyebabkan mereka terpaksa menaikkan harga.

“Harga yang naik sehingga RM10kg sangat membebankan apatah lagi inilah makanan utama rakyat,” katanya.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button