Espargaro takluk MotoGP Argentina

Termas de Río Hondo, Argentina: Pelumba Sepanyol, Aleix Espargaro menang gelaran sulung perlumbaan MotoGP dalam percubaan ke-200 di Argentina, semalam.

Sambil menangis, pelumba berusia 32 tahun dari Aprilia itu menyatakan: “Ia amat istimewa.”

Dia kini mendahului kejuaraan selepas tiga perlumbaan dan Jorge Martin yang mewakili Ducati-Pramac serta pelumba Suzuki, Alex Rins melengkapkan penguasaan pelumba Sepanyol di atas podium.



“Saya sangat gembira dan sudah lama menunggu saat ini,” kata Esparago yang menyertai Aprilia pada 2017.

“Ia sungguh istimewa kerana ini adalah perlumbaan ke-200 saya dalam saingan MotoGP.”

Secara keseluruhan, Espargaro terbabit dalam 283 grand prix dalam tiga kategori sukan itu selepas membuat kemunculan pertama dalam kelas 125cc pada 2004.

“Semua berlangsung dengan baik, kelajuan kami mantap, tetapi muncul tekanan berganda apabila ramai orang memberitahu semuanya mudah, tetapi sebenarnya tidak.



“Pusingan terakhir menjadi kekuatan saya dan saya berterima kasih kepada Aprilia. Saya fikir kami berhak dan layak mendahului kejuaraan kerana enam tahun lalu, tiada siapa percayakan Aprilia.”

Espargaro bermula di petak paling depan iaitu yang pertama selepas pencapaiannya bersama Suzuki di GP Catalunya di Barcelona, tujuh tahun lalu.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button