Resepi Ayam Masak Merah

Resepi Ayam Masak Merah yang Che Nom kongsikan kali ini lebih mudah dan menggunakan bahan-bahan yang kebiasaannya ada di dapur. Cuma apa yang istimewanya ialah jenis gula yang digunakan iaitu gula melaka. Che Nom rasa penggunaan gula melaka menyebabkan manis kuah sambal lebih sedap daripada sambal yang dimasukkan gula putih biasa. Memang ala-ala lauk kenduri sambal kampung rasa Ayam Masak Merah ini. Anda harus cuba. Sila rujuk bahagian tips untuk cara-cara masak sambal tumis dengan sedap.

Bahan istimewa yang ke-2 ialah daun kari. Penggunaan daun kari semasa menumis dapat menambahkan rasa dan aroma yang lebih wangi serta menyelerakan. Tapi jangan risau jika tak ada daun kari, boleh aja diabaikan. Cuma rasanya akan sedikit berbeza dengan versi yang Che Nom masak hari ini.

Bahan-Bahan:

  • 1 ekor ayam, potong kepada bahagian yang anda suka
  • serbuk kunyit
  • sedikit garam
  • 1 tangkai daun kari
  • 1/2 mangkuk air asam jawa
  • 3-4 sudu besar sos cili
  • 1 biji bawang besar, potong bulat
  • Anggaran 1 keping gula melaka
  • 2 sudu besar sos tiram
  • Bahan untuk kisar halus:
    • 2 biji bawang besar
    • 2 inci halia
    • 6-8 biji bawang merah
    • 8-10 ulas bawang putih
    • 2 batang serai, hiris nipis
    • 15-20 biji cili kering, buang biji dan rebus

Cara Penyediaan:

  1. Bersihkan ayam dan gaul bersama serbuk kunyit dan garam. Panaskan minyak dan goreng ayam separuh masak. Angkat dan ketepikan.
  2. Dalam minyak yang sama, tumis daun kari kemudian diikuti bahan kisar halus bersama sehingga pecah minyak.
  3. Masukkan air asam jawa kemudian diikuti ayam goreng tadi.
  4. Masukkan sos sili, sos tiram dan gula melaka. Masukkan gula melaka sedikit demi sedikit dan cuba rasa manisnya mengikut selera anda. Tambah sedikit air jika kuah sambal terlalu kering. Teruskan masak selama 5-10 minit. Perasakan dengan garam secukup rasa.
  5. Sebelum angkat, masukkan bawang besar yang dipototong bulat. Kacau seketika.

Tips:

  • Untuk mendapatkan sambal tumis yang sedap, bahan tumis haruslah dimasak di dalam minyak yang banyak dan ditumis sehingga pecah minyak (maksudnya minyak terapung atau terpisah dari kuah sambal) dan warna sambal bertukar menjadi sedikit gelap. Itu tandanya semua bahan kisar terutamanya cili masak dengan sempurna dan akan menghasilkan sambal tumis yang enak. Jika kering tambahkan sedikit air dan kacau untuk elakkan kuah sambal menjadi hangus.

Che’ Nom



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button