Mas Idayu menamatkan zaman solo

KUALA LUMPUR: Selepas 15 tahun hidup sebagai ibu tunggal, penyanyi dan pelakon, Mas Idayu memilih menamatkan zaman solo dengan penerbit eksekutif stesen TV3, Muhammad Sufian Che Isa, September depan.

Ia sekali gus mengiyakan desas-desus mengenai hubungan cinta antara mereka yang mula bertebaran, sejak kebelakangan ini.

Penyanyi lagu Bolehlah Boleh itu berkata, dia dan Sufian mengenali sejak program Mentor 3 sekitar 2008.



Bagaimanapun, katanya, hubungan mekar menjadi serius, sejak beberapa bulan lalu

“Sejujurnya, saya sendiri tidak menjangka akan melalui fasa ini sekali lagi. Apatah lagi, selepas 15 tahun hidup sendirian.

“Saya berdoa dipertemukan jodoh yang baik sejak dua tahun kebelakangan ini.

“Siapa mampu menyangka, jodoh saya dalam kalangan orang yang selalu berurusan soal kerja.



“Daripada sekadar usikan rakan ketika program Lagu Cinta Kita (LCK), tahun lalu, ia membawa kepada hubungan yang serius,” katanya kepada BH Online.

Mas Idayu atau nama sebenarnya, Masidayu Mesnun berseloroh, peserta LCK tidak berkahwin, sebaliknya mereka pula yang ditakdirkan bersatu.

“Akhirnya, saya dan Sufian pula yang bakal berkahwin. Inilah dikatakan jodoh.

“Doakan semoga perancangan kami dipermudahkan,” katanya.



Bercerita mengenai hubungan yang terjalin, juri tetap program LCK itu berkata, Sufian sudah menemui kakak sulungnya.

“Tiada istilah melamar saya. Kami faham isi hati masing-masing.

“Sufian terus cakap nak jumpa keluarga yang kebetulan datang dari kampung. Perkara ini tentu sahaja menggembirakan saya.

“Ini bukan soal mahu kahwin, tetapi saya dipertemukan dengan lelaki yang boleh menjaga diri ini. Malah, anak juga mengaturkan tempat untuk kami berjumpa selama empat kali.



“Kalau nak bercakap soal persiapan, sekarang hanya 30 peratus. Lokasi ada beberapa pilihan, tinggal nak pilih sahaja,” katanya.

Sebelum ini, penyanyi lagu Cintaku 100% itu pernah berkahwin dengan aktor, Aman Graseka pada 1997 dan bercerai pada 2006.

Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan anak perempuan, Nur Dayini Asyiqa yang kini berusia 25 tahun.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button