Ibu bapa wajar dihukum kerana lalai

KUALA LUMPUR: Hukuman setimpal wajar dikenakan sebagai pengajaran kepada ibu bapa yang didapati cuai dalam memantau keselamatan anak-anak bawah jagaan mereka.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, ketika mengulas kes kematian lapan remaja berbasikal lajak pada 2017, berkata walaupun pelaku disabitkan kesalahan kerana ada nyawa terkorban, ibu bapa juga seharusnya tidak terlepas kerana membiarkan anak-anak tanpa pengawasan.

“Ramai yang berasakan pelaku tidak wajar dibebaskan kerana ada nyawa yang melayang. Tidak kurang juga yang bersimpati kepada pelaku kerana merasakan tidak wajar anak-anak berkenaan berada di luar rumah, bermain pada jam 3 pagi.



“Dalam kes ini, ibu bapa juga menjadi punca kematian kanak-kanak ini kerana mereka lalai dan mengabaikan kanak-kanak yang memerlukan perlindungan dan pengawasan.

“Maka, hukuman setimpal juga perlu dikenakan kepada mereka sebagai pengajaran kepada ibu bapa di luar sana untuk sentiasa memantau keselamatan dan keadaan anak-anak kecil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rabu lalu, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 ke atas seorang kerani, Sam Ke Ting atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak pada 2017.

Lam Thye berkata, secara normalnya, kanak-kanak sepatutnya berada bawah pengawasan ibu bapa atau orang dewasa pada waktu malam hingga pagi.



“Sebagai ibu bapa, sudah menjadi tanggungjawab hakiki untuk ibu bapa memastikan anak-anak dilindungi. Jam 3 pagi, secara tepatnya anak harus nyenyak tidur di katil masing-masing.

“Tugas ibu bapa yang penyayang adalah memastikan anak mereka tidur dengan lena pada waktu malam sehinggalah ke pagi,” katanya yang menegaskan ibu bapa tidak sepatutnya membiarkan anak kecil melakukan aktiviti tidak selamat terutama pada waktu malam tanpa pengawasan.

Katanya, ia jelas satu pengabaian tanggungjawab oleh ibu bapa dengan anak kecil di negara ini dilindungi bawah Akta Perlindungan Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan tindakan sedemikian sebagai satu kesalahan serius.

Lam Thye berkata, kerajaan juga perlu mengambil langkah mengharamkan aktiviti yang membahayakan keselamatan dan tidak berfaedah seperti basikal lajak.



“Lapan nyawa yang terkorban ini sudah lebih daripada cukup untuk mewujudkan satu undang-undang mengharamkan aktiviti ini.

“Ini (supaya) tiada lagi nyawa yang akan melayang kelak kerana aktiviti tidak bermoral dan tidak selamat sebegini,” katanya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button