Kematian yang dicemburui

Baling: “Sepanjang Ramadan tahun ini, ini kali pertama suami tergerak hati berbuka puasa di masjid. Tak sangka dia dijemput Ilahi ketika sedang solat tarawih di masjid itu,” kata Rohani Mohd Noor, 51, isteri Zamri Saad, 51, yang meninggal dunia ketika menunaikan solat terawih berjemaah di Masjid Tunku Intan Safinaz, Kampung Lanai di sini, semalam.

Ibu kepada tujuh anak itu berkata suaminya sebelum itu mengajaknya untuk solat tarawih di masjid namun dia menolak kerana mahu melakukannya di surau berhampiran rumah mereka.

Katanya, suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan kecuali anak-anaknya mula perasan bapa mereka agak pendiam sejak akhir-akhir ini.



“Kira-kira jam 10 malam abang ipar datang beritahu suami saya jatuh dan pengsan ketika solat.

“Saya terus mengajak anak kedua (Nazirol, 20) ke masjid. Sebaik tiba dia masuk dahulu ke dalam masjid dan keluar semula beritahu bapanya sudah tiada,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Rohani berkata, suaminya sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori dan pernah dimasukkan ke Hospital Taiping tiga tahun lalu akibat penyakit jantung.

“Suami saya sekarang sudah tidak bekerja kerana bimbang dengan keadaan kesihatannya, dia juga seorang suami yang sangat pentingkan keluarga.



“Anak-anak juga sudah membeli baju raya warna sedondon namun dia sudah pergi dahulu. Apa pun kami sekeluarga reda dengan pemergiannya,” katanya.

Ketika ditanya mengenai amalan suaminya, Rohani memberitahu sepanjang Ramadan pada setiap tahun arwah sentiasa bangun malam menunaikan solat sunat tahajud dan solat sunat lain sehingga waktu bersahur.

Penduduk kampung, Hashim Osman, 51, berkata, arwah Zamri rebah ketika ketika rakaat ke-20 sebelum disahkan meninggal dunia di masjid itu.

Katanya, ketika berbuka puasa arwah beritahu dia tidak boleh makan kurma kambing tetapi minta kebenaran untuk bawa balik sedikit lauk itu untuk anak-anak makan.



“Pada petang sebelum kejadian, arwah ada mengadu kepada jemaah lain dia sakit dada.

“Ketika solat arwah berada di saf hadapan di belakang imam, pada rakaat ke 20 sebelum tahiyat akhir, tiba-tiba dia rebah dan kami dengar pernafasannya agak kuat.

“Jemaah sempat menghabiskan solat dan terus mendapatkan arwah yang ketika itu sedang nazak dan kami sempat mengajarnya mengucap syahadah,” katanya.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lanai di sini, selepas solat Zuhur hari ini.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button