Indonesia henti penghantaran olein sawit mulai esok

Jakarta: Indonesia akan menghentikan penghantaran olein sawit (RBD) bertapis, diluntur dan dinyahbau, berkuat kuasa 28 April 2022, kata Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Airlangga Hartarto.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata kerajaan akan mengkaji semula dasar itu secara berkala dan ia akan kekal sehingga harga minyak masak domestik turun kepada 14,000 rupiah (RM4.21) seliter.

Negara itu akan mengenakan dasar larangan eksport ke atas semua pengeluar olein sawit RBD dan digunakan pada produk di bawah kod sistem seragam 15119036, 15119037 dan 15119039.



Data Pusat Maklumat Harga Makanan Strategik Nasional Indonesia pada hari Selasa menunjukkan harga minyak masak pukal berada pada 19,450 rupiah seliter, jatuh 1.52 peratus atau 300 rupiah berbanding Isnin.

Terdahulu, Kementerian Pertanian republik itu dalam surat pekelilingnya kepada gabenor berkata penghantaran minyak sawit mentah (MSM) akan dikecualikan daripada rancangan larangan eksport minyak sawit.

Presiden Joko Widodo pada Jumaat lepas mengumumkan larangan eksport minyak sawit mulai 28 April 2022 sehingga diberitahu kelak bagi memastikan keperluan domestik dipenuhi di tengah-tengah kenaikan harga.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button