Bale kekal dalam sejarah Real Madrid
Madrid: Carlo Ancelotti menegaskan bahawa Gareth Bale akan sentiasa berada ‘dalam ingatan peminat Real Madrid’ walaupun hubungannya dengan penyokong kelab itu retak.
Pemain Wales berusia 32 tahun itu bersedia meninggalkan Santiago Bernabeu secara percuma pada musim panas ini selepas sembilan tahun bersama kelab berkenaan.
Bekas bintang Tottenham mula dimusuhi peminat pada November 2019 apabila dia meraikan kemenangan dengan menunjukkan bendera kebangsaan dengan ditulis ‘Wales. Golf. Madrid. In that order.’
Hubungan buruk antara Bale dan penyokong berlarutan sehingga musim ini apabila dia mentertawakan ejekan yang ditujukan kepadanya selepas dimasukkan sebagai pemain gantian ketika Madrid melakarkan kemenangan 2-0 ke atas Getafe bulan lalu.
Laporan di Sepanyol kini menulis bahawa Jumaat malam akan menjadi ‘malam perpisahan’ apabila pasukan itu akan melayan kunjungan skuad Manuel Pellegrini, Real Betis dengan pemain tengah Isco dan bek kiri Marcelo juga berpotensi untuk mengucapkan selamat tinggal.
Namun menjelang perlawanan itu pengendali Real dari Itali, Ancelotti mengesahkan bahawa Bale – yang sudahpun memenangi tiga gelaran La Liga dan empat Liga Juara-Juara akan kekal sebagai sebahagian daripada sejarah kelab selamanya tapi enggan mengesahkan sama ada di akan berada di bangku simpanan biarpun dilihat menjalani latihan.
“Semua orang tahu bahawa kontraknya sudah tamat,” kata Ancelotti.
“Sama ada dia bermain esok atau tidak itu tidak penting.
“Apa yang penting dia menjadi sebahagian daripada sejarah kelab ini. Saya rasa dia akan kekal dalam ingatan semua peminat Real Madrid.
“Dia penting dalam La Decima (final Liga Juara-Juara 2014) di Kiev (final Liga Juara-Juara 2018) dan Copa del Rey (2014)
“Dia adalah pemain yang meninggalkan sejarah yang hebat untuk kelab ini dan saya rasa semua orang tahu mengenainya.”
METRO