Benzema hanya perlu satu lagi sentuhan kemenangan

MADRID: Pemain Real Madrid, Rodrygo ditanya hari ini apakah nasihat terbaik pernah diberikan Karim Benzema, dan dia segera menjawab: “Berikan dia bola.”

Ia adalah strategi yang biasa digunakan Real Madrid, dengan pemain nombor sembilan akan menjadi paling bahaya di padang pada final Liga Juara-Juara awal pagi Ahad ini berdepan Liverpool dan dia dikatakan pemain terbaik dunia sepanjang tahun ini.

Benzema meledak 49 gol dalam 52 perlawanan dan mengetepikan 33 gol Mohamed Salah dalam 59 perlawanan malah Kylian Mbappe yang menolak Real Madrid, mencipta 43 dalam 49 perlawanan.

Jika Real Madrid menewaskan Liverpool untuk menang Piala Eropah ke-14, Benzema dijangka boleh menewaskan Salah dan Sadio Mane untuk menang Ballon d’Or pertamanya.

Musim ini, Benzema menjaringkan gol paling banyak sepanjang kariernya bersama Real Madrid dan terbanyak dalam Liga Juara-Juara.

Dia menjadi pemain paling tua meledak hatrik dalam Liga Juara-Juara dan penyerang paling prolifik Perancis dalam sejarah.

Jika dia meledak dua gol hujung minggu ini, dia akan menyamai rekod Cristiano Ronaldo dalam Liga Juara-Juara dengan 17 gol, paling banyak pernah dijaringkan pemain dalam satu kejohanan.

Zinedine Zidane, yang disifatkan Benzema sebagai abangnya, berkata Benzema “adalah anugerah kepada sesiapa yang sayangkan bola sepak”, “pemain bola sepak sempurna” dan “terbaik.”

Bekas pemenang Ballon d’Or, Jean-Pierre Papin pernah berkata: “Benzema memiliki kekuatan Ronaldo, kepantasan Ronaldinho, kelas tersendiri seperti Henry dan naluri pemusnah David Trezeguet.”

“Kami sentiasa mengharapkannya,” kata Rodrygo. “Dia fenomena.”

Dia menjaringkan 10 gol pada peringkat kalah mati, mengatasi lawan terbaik, termasuk hatrik berdepan Paris Saint-Germain dan Chelsea selain dua gol menentang Manchester City.

AFP

Leave a Reply