2 pembantu kesihatan direman bantu siasatan

Shah Alam: Dua pembantu kesihatan direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima suapan berjumlah kira-kira RM15,000 setiap seorang bagi urusan berkaitan kerja pengurusan jenazah.

Perintah reman sehingga 31 Mei itu dibenarkan Majistret Nur Faizah Abdul Sani selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Semalam, dua suspek lelaki berusia 40 dan 42 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Selangor sekitar jam 4.45 petang.



Menurut sumber, kedua-dua suspek yang berkhidmat di salah sebuah hospital di negeri ini dipercayai meminta dan menerima wang suapan sebanyak RM300 bagi setiap pengurusan jenazah daripada individu tertentu.

Difahamkan ia sebagai balasan untuk pihak berkenaan terus mendapatkan kerja-kerja pengurusan jenazah bagi tempoh 2018 hingga 2021.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button