Ustaz Ahmad Fuad ‘sekolahkan’ Baby Shima

Kuala Lumpur: Tindakan penyanyi Baby Shima bergelek pada sambutan rumah terbuka hari raya baru-baru ini mendapat kecaman ramai apabila video persembahannya itu tular di media sosial.

Lebih menyakitkan hati dan menambahkan kemarahan apabila penyanyi yang turut popular di Indonesia itu mengeluarkan kenyataan dia bergelek kerana tahan kentut.

Bukan saja dalam kalangan warganet, tapi perbuatan Baby Shima itu sengaja menimbulkan kontroversi mendapat perhatian golongan cerdik pandai dan agamawan yang tampil memberi teguran.

Penceramah bebas, Ustaz Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar membuat surat terbuka terhadap Baby Shima yang mahu dia faham suasana Malaysia dan Indonesia tidak sama.

“Saya selalu turun berdakwah di Indonesia dan saya tahu pasaran hiburan di sana berbeza. Di sana hiburan mereka lebih berani malah terkadang menyambut Israk Mikraj pun ada yang sanggup menari. Pernah di tempat saya berkuliah agama namun konsert dangdut berhampiran bersebelahan. Waktu kuliah boleh terdengar ayat ‘Ayuh Goyang Mas’ geleng kepala saya waktu kuliah.

“Buat Shima saya cuma minta Cik faham yang suasana Malaysia dan Indonesia tidak sama. Di sini agamanya dijaga oleh mufti dan ada perundangan yang memelihara. Adab dan suasananya masih cantik terpelihara. Hiburan juga masih lagi santun dan menjaga kemuliaan diri wanita. Namun semenjak dua menjak ini naik kembali di peranti telefon bimbit saya aduan dan nasihat orang ramai terhadap keberanian saudari dalam mengetengahkan hasil seni yang kurang cermat.

“Tak salah nak berseni tapi ingatlah agama harus menjadi sendi. Jangan terlebih berhibur sehingga maruah menjadi lebur. Shima adalah ikon hiburan, banyak adik-adik yang melihat dan menonton, maka jadilah artis yang memberi inspirasi positif dan panduan yang baik buat masyarakat terutama golongan remaja,” katanya.

Menerusi layangan sama, Ahmad Fuad berharap Baby Shima mengambil manfaat dari semua teguran yang diberikan pada dirinya.

“Shima pun pernah cakap, kenapa masyarakat tak boleh terima Shima walaupun Shima tak ganggu mereka. Memang betul Shima tak ganggu mereka secara fizikal tapi hati suami-suami orang yang tertarik dan memenuhi ruangan komen Shima tu menyebabkan banyak perempuan lain ‘insecure’. Pening kepala golongan isteri bila bergaduh mulalah muat naik di group Kisah Rumah Tangga.

“Sebenarnya sifat malu adalah perisai wanita daripada diambil kesempatan. Sifat Malu adalah sifat yang lahir daripada hati yang jernih kepada Allah. Kita tak nak suasana ini mendatangkan kemurkaan daripada Allah. Saya takut dan semua orang takut.

“Saya harap Shima dapat mengambil manfaat daripada segala teguran ini. Marilah membina masa depan hiburan tanah air yang lebih bersifat mendidik berbanding sekadar melalaikan. Saya tulis ni sebab Allah dan saya juga memohon agar Allah mengampunkan segala dosa kita,” Katanya.

Bagaimanapun usaha mendapatkan kenyataan daripada Baby Shima gagal apabila mesej dan panggilan telefon tidak berjawab.

METRO

Leave a Reply