MRT Laluan Fasa 2 Dijangka Beroperasi Januari 2023
MRT Laluan Putrajaya (sebelum ini dikenali sebagai Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya) meliputi jajaran sepanjang 56.2 kilometer dan mempunyai 36 stesen untuk kedua-dua fasa, bermula dari stesen Kwasa Damansara ke Putrajaya.
Fasa 2 Hampir Siap
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Menteri Pengangkutan pada Oktober tahun lalu, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memaklumkan bahawa projek tersebut telah siap 93.52%.
Tambahnya, infrastruktur utama seperti terowong, stesen dan struktur lain telah siap dibina dan baki kerja yang perlu disiapkan antaranya merangkumi perkhidmatan bangunan, kemasan seni bina dan landskap.
“Pembinaan Laluan MRT Putrajaya ini tepat pada masanya kerana ia menjadi pemangkin penting dalam pemulihan ekonomi negara dengan membolehkan ramai pekerja dapat kembali bekerja dan kembali menjalani kehidupan normal,” jelas Wee.
Fasa 1 Beroperasi 16 Jun 2022
Sementara itu, Fasa 1 Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya dilaporkan akan mula beroperasi pada jam 3 petang, 16 Jun ini, bagi memberikan ketersambungan dan akses lebih baik untuk orang ramai.
Pembukaan Fasa 1 Laluan Putrajaya ini akan memberikan penumpang pengalaman pertukaran tren yang lancar dan lebih pantas ke MRT Laluan Kajang ekoran platform yang terletak aras sama di stesen Kwasa Damansara.
Stesen selebihnya dijangka akan dibuka pada tahun hadapan, sejajar dengan pembukaan MRT laluan Putrajaya Fasa 2 yang dijadualkan pada Januari 2023 nanti.