Bank Dunia yakin Malaysia capai sasaran pertumbuhan
KUALA LUMPUR: Bank Dunia yakin ekonomi Malaysia berkembang 5.5 peratus tahun ini disokong pemulihan kukuh dari segi penggunaan, sekali gus berada dalam lingkungan unjuran rasmi kerajaan iaitu pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 5.3 hingga 6.3 peratus.
Pengarah Negara Bank Dunia bagi Brunei, Malaysia, Filipina dan Thailand, Ndiame Diop, berkata penarikan sepenuhnya sekatan pergerakan dan pembukaan semula ekonomi dijangka meletakkan semula Malaysia pada landasan pemulihan lebih pantas.
Katanya, konsolidasi fiskal untuk menyokong pemulihan inklusif di seluruh negara perlu kekal sebagai keutamaan, namun perlu dilaksanakan secara beransur-ansur.
“Memandangkan pemulihan menjadi lebih kukuh, dasar perlu memfokus semula dalam menangani kesan fiskal krisis COVID-19 melalui peningkatan kutipan hasil dan kecekapan perbelanjaan yang lebih besar.
“Selain membina semula penampan fiskal, peluang pertumbuhan baharu boleh direbut dalam dunia pasca-pandemik.
“Sebagai contoh, Malaysia boleh meningkatkan usaha untuk menangani beberapa kekangan utama yang dihadapi oleh pembangunan sektor perkhidmatan dan menggiatkan semula pelaburan swasta,” katanya dalam Laporan Bank Dunia, ‘Catching Up: Inclusive Recovery & Growth for Lagging States’ yang dikeluarkan semalam.
Dalam sidang media selepas pelancaran laporan terkini, Ketua Ahli Ekonomi, Makroekonomi, Perdagangan dan Pelaburan Bank Dunia, Dr Apurva Sanghi, berkata KDNK Malaysia melepasi paras sebelum pandemik dari aspek output pada suku keempat 2021 sebelum terus berkembang pada suku pertama 2022 kepada 5.0 peratus.
Katanya, pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka akan dipengaruhi pelbagai risiko termasuk krisis Russia-Ukraine, dasar sifar COVID-19 China dan kenaikan kadar faedah oleh Amerika Syarikat (AS).
“Pertumbuhan ekonomi Malaysia diunjurkan pada 5.5 peratus tahun ini, sebelum menyederhana kepada 4.5 peratus tahun 2023 dan 4.4 peratus pada 2024,” katanya.
Turut serta, Pengurus Negara Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Yasuhiko Matsuda.
Bulan lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun ini di antara 5.3 peratus hingga 6.3 peratus seperti yang diumumkan pada Mac lalu.
Sementara itu, laporan terbaharu Bank Dunia mencadangkan dasar fiskal perlu menyeimbangkan peningkatan hasil, perbelanjaan dengan cekap dan memastikan perlindungan sosial yang mencukupi untuk kumpulan berpendapatan rendah bagi menggalakkan pertumbuhan menyeluruh.
Topik khas laporan itu mengetengahkan cabaran yang mengekang pembangunan ekonomi di negeri yang ketinggalan iaitu Kedah, Perlis, Kelantan, Sabah dan Sarawak, yang dicirikan dengan purata pendapatan terendah/kadar kemiskinan tertinggi.
Laporan itu mendapati bahawa beberapa halangan kepada pertumbuhan di negeri terbabit boleh ditangani menerusi pengukuhan kerjasama antara negeri-persekutuan di bawah rangka kerja dasar yang jelas untuk menangani cabaran khusus negeri yang ketinggalan.
Menurut Bank Dunia, dalam tempoh jangka pendek, dasar fiskal harus ditumpukan dalam mengekalkan sokongan kewangan untuk golongan miskin dan terdedah, selain mewujudkan rangka kerja perlindungan sosial yang lebih inklusif dengan sasaran yang lebih baik.
“Pelbagai program bantuan tunai kerajaan sepanjang pandemik telah memberikan sokongan penting kepada isi rumah,” katanya.
Sementara itu, Tinjauan Telefon Frekuensi Tinggi Bank Dunia mendedahkan program bantuan tunai ini tidak mencapai hampir satu perempat daripada mereka yang berpendapatan RM2,000 atau kurang.
“Walaupun perbelanjaan fiskal yang lebih tinggi sebagai tindak balas kepada wabak telah membantu menyokong ekonomi, ia juga telah menyebabkan ruang fiskal semakin sempit.
“Usaha untuk membina semula penampan fiskal melalui peningkatan kutipan hasil dan peningkatan kecekapan perbelanjaan harus kekal sebagai keutamaan dasar utama.
“Bagaimanapun, memandangkan pemulihan ekonomi masih di peringkat awal, konsolidasi fiskal jangka sederhana perlu ditangani secara berperingkat,” katanya.
BHOnline