‘Jangan keterlaluan naikkan harga ayam’ – KPDNHEP

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi amaran supaya peniaga tidak menaikkan harga ayam dengan keterlaluan susulan penamatan Penentuan Harga Maksimum Ayam, hujung bulan ini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pihaknya akan terus memantau dan mengambil tindakan tegas berdasarkan peruntukan undang-undang jika menerima aduan kenaikan drastik harga bekalan terbabit.

“Kita sudah umumkan bahawa selepas Jun ini, harga ayam akan diapung tertakluk kepada bekalan dan permintaan.



“Bagaimanapun, ia bukan bermakna apabila kita apungkan harga ayam, ia dibiar begitu sahaja kerana kita terus pantau dan jika ada aduan, ada pencatutan selepas siasatan, KPDNHEP akan bertindak gunakan akta sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Watikan Pelantikan Ahli Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN) Sesi 2022-2023 di sini, hari ini.

Kerajaan sebelum ini melanjutkan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur bagi ayam standard, ayam super dan telur ayam sehingga 30 Jun ini sejak ia dilaksanakan pada Januari lalu.

Ia bermakna, harga ayam akan mula diapungkan selepas tarikh berkenaan.



Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan tidak lagi memberi subsidi kepada penternak sebaliknya menyalurkannya kepada rakyat yang memerlukan terutama golongan B40.

Beliau berkata, langkah terbabit bertujuan mengurangkan bebanan rakyat supaya tidak terlalu tertekan dengan kenaikan harga barang.

Alexander berkata, inflasi bukan sahaja melanda Malaysia malah di seluruh dunia sehingga memberi kesan kepada kenaikan harga barangan.

“Kita dalam masa tertekan sebagai sebuah negara, ekonomi kerana inflasi yang melanda bukan sahaja negara kita malah seluruh dunia.



“Ia bukan lagi sekadar permintaan dan bekalan seperti biasa kerana sekarang banyak isu berkaitan, gangguan kepada rantaian seperti pengangkutan, peperangan Russia-Ukraine dan keadaan cuaca terutama di negara pengeluar.

“Bukan kita tidak pedulikan pengguna, tetapi kita dapati jika terlalu lama buat sekatan harga, ia menjejaskan industri dan boleh menjurus kepada keadaan ayam pun tak dapat dikeluarkan di negara ini jika industri terjejas.

“Jika sampai ke tahap itu, kita mungkin bergantung kepada pengimportan ayam dan ia tidak patut berlaku,” katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan watikah pelantikan kepada 16 ahli MPPN baharu diketuai aktivis pengguna, Mohd Azmi Abd Hamid.



Antara yang dilantik adalah Pengarang Kumpulan BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button