‘Sumpahan’ bau ikan

London: Seorang wanita disahkan menghidap masalah bau badan menyebabkan dia berbau seperti ikan, tidak kira berapa kerap dia mandi.

Portal Metro UK melaporkan, dia juga cuba mandi empat kali sehari untuk menutup baunya, tetapi usaha itu tidak berkesan.

Kelly Fidoe-White, 41, dari Oldham, Manchester, adalah seorang jururadiografi dilaporkan menjalani hidupnya dengan penyakit Trimethylaminuria (TMAU).

Ia adalah gangguan yang lebih dikenali sebagai ‘sindrom bau ikan.’

Keadaan metabolik ini sangat jarang berlaku dan ia hanya direkodkan 100 orang dalam rekod perubatan.

Bagaimanapun, sesetengah pengamal profesional perubatan percaya angka sebenar individu dengan TMAU mungkin lebih tinggi.

Mereka yang menghidap TMAU menghasilkan pelbagai bau badan yang kuat seperti ikan busuk, bawang dan najis.

Kelly mula-mula mengalami simptomnya ketika dia baru berusia enam tahun, sebaik menyedari air kencingnya akan berbau seperti bau ikan.

Apabila mencapai usia akil baligh, dia mula mengalami bau badan yang ketara.

Dalam usaha untuk menghentikan bau tidak menyenangkan itu, Kelly mandi beberapa kali sehari.

Malangnya, dia tidak tahu pada masa itu bahawa langkah berkenaan semakin memburukkan keadaan.

Ia sehinggalah dia didiagnosis secara rasmi dengan TMAU pada 2015, pada usia 34 tahun.

“Orang ramai memanggilnya sebagai sumpahan, dan saya tahu sebabnya,” kata Kelly kepada NeedToKnow.online.

Wanita itu juga dipanggil dengan pelbagai nama yang kurang elok kerana masalah bau badan berkenaan.

Tetapi, malangnya, sehingga kini tiada ubat yang dapat menyelesaikan masalah berkenaan.

METRO

Leave a Reply