8 individu bolos sempadan Johor dikesan

Johor Bahru: Pihak berkuasa sedang mengesan individu yang memasuki negara ini mengikut laluan yang tidak sah di tebing Selat Tebrau di sini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, rakaman video kejadian berkenaan tular sejak semalam.

Menurutnya, hasil siasatan dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian berhampiran Bangunan Sultan Iskandar (BSI) mendapati lima lelaki dan tiga perempuan memasuki sempadan negara secara haram.



Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1969/63. “Individu yang terbabit diminta ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan untuk diambil keterangan.

“Orang ramai yang memiliki maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Nizam Ramon di talian 011-116086119,” katanya menerusi siaran media, hari ini.

Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, beberapa tindakan diambil oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian berulang.

Menurutnya, polis Johor menempatkan kawalan anggota polis 24 jam di kawasan kejadian serta memasang kawat berduri di tepi pagar tebing Selat Tebrau.



“Perkara ini juga saya bincangkan dengan pihak Kementerian Dalam Negeri untuk menyelesaikan isu-isu di Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (KIK) yang tidak berkesudahan,” katanya menerusi Facebook di sini, hari ini.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button