Program Usahawan Big Boss dapat pujian Tengku Zafrul

RAWANG: Satu peruntukan khas dijangka disalurkan kepada golongan muda bagi memastikan kumpulan itu terus berdaya saing dari segi ekonomi dan pendapatan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata golongan berkenaan akan menjadi tumpuan khusus dalam pembentangan Bajet 2023 dan mereka memerlukan bantuan kewangan serta modal untuk memulakan perniagaan.

“Saya percaya golongan muda ini amat penting bagi negara. Dalam bajet yang sedang kita rangka sekarang, saya masih berbincang dengan kementerian dan agensi berkaitan.

“Kita hendak memberikan peruntukan khusus kepada golongan muda dari segi modal dan pinjaman supaya mereka dapat berniaga serta berusaha meningkatkan ekonomi masing-masing,” katanya berucap pada majlis perasmian Program Usahawan Big Boss di Big Boss Mart, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos dan pengerusi badan bukan kerajaan (NGO) Geng 18, Muhammad Amin Daniel Jamal.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, lebih banyak program dan kursus seperti Big Boss perlu disediakan untuk golongan muda.

Beliau berkata, ini kerana bukan mudah untuk seseorang mengendalikan perniagaan tanpa ilmu pengetahuan.

BHOnline

 

Leave a Reply