Sekeluarga cedera dapur steamboat meletup

Kota Kinabalu: Empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak berdepan pengalaman mengerikan ketika menjamu selera apabila dapur memasak steamboat tiba-tiba meletup di sebuah restoran di Alam Mesra, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, kedua-dua kanak-kanak terbabit terpaksa dihantar ke hospital oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan segera.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.06 malam.

Katanya, sepasukan 13 anggota dan pegawai bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, seorang wanita dilaporkan cedera di tangan manakala mangsa lelaki pula melecur di tangan dan luka di kaki.

“Kedua-dua mangsa terus diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulans,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pasukan operasi kemudiannya melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi.

Katanya, operasi terkawal pada jam 9.35 malam sebelum ditamatkan sepenuhnya enam minit kemudian.

METRO

Leave a Reply