Verstappen raih kemenangan sulung di Montreal

MONTREAL, Kanada: Juara dunia Max Verstappen mengukuhkan kedudukan di puncak Formula Satu (F1) musim ini selepas memenangi Grand Prix Kanada.

Pemandu Red Bull berusia 24 tahun dari Belanda itu menguasai perlumbaan dari petak utama dan berjaya mengatasi asakan lewat daripada pemandu Ferrari Carlos Sainz untuk menang dengan kelebihan di bawah satu saat.

Juara dunia tujuh kali Lewis Hamilton, yang pada Jumaat mendakwa jentera Mercedesnya tidak boleh dipandu, di tempat ketiga untuk penamat podium keduanya musim ini manakala rakan sepasukan George Russell keempat.

Ia adalah kemenangan pertama Verstappen di Kanada, yang keenam tahun ini dan ke-26 dalam kariernya, melebarkan jurang kepada 46 mata dalam saingan kejuaraan.

“Saya memberikan segalanya. Tetapi Carlos juga begitu. Dia mengasak, mengejar, mengasak, mengejar. Biasanya lebih senang mengejar dengan DRS! Saya menikmati perlumbaan hari ini,” kata Verstappen.

Hamilton, yang memegang rekod tujuh kemenangan di Montreal, berpuas hati di tempat ketiga.

Pemandu Ferrari Charles Leclerc, yang bermula dari belakang grid selepas dikenakan penalti kerana menukar enjin, menamatkan perlumbaan di tempat kelima di depan Esteban Ocon dari Alpine.

Valtteri Bottas dan rakan sepasukan Alfa Romeo Zhou Guanyu dinaikkan ke tempat ketujuh dan kelapan selepas Fernando Alonso dari Alpine dikenakan penalti lima saat kerana aksinya ketika menahan asakan Bottas.

Pemandu dari Sepanyol itu turun ke tempat kesembilan dengan Lance Stroll dari Aston Martin di tempat ke-10.

AFP

Leave a Reply