Potong gaji menteri 20 peratus – Rafidah Aziz

PADANG TERAP: Saranan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz agar gaji menteri dipotong sebanyak 20 peratus tidak akan membantu menyelesaikan kos sara hidup rakyat, sebaliknya ia memerlukan alternatif lain yang lebih berkesan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata ini kerana kerajaan sentiasa berusaha untuk membantu rakyat dalam menghadapi krisis peningkatan harga barang sejak akhir-akhir ini.

“Sekarang ada pelbagai usaha yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pasukan dalam Kabinet, khususnya bagi menteri-menteri yang terbabit secara langsung dengan ekonomi dan harga barang seperti kementerian kewangan, ekonomi, perdagangan, pertanian dan kerja raya.



“Mereka akan duduk mesyuarat seminggu dua kali bagi membincangkan hal berbangkit dan memberi jalan penyelesaian seperti diumumkan Perdana Menteri mengenai tiada kenaikan tarif elektrik dan harga pasaran ayam tidak akan diapungkan.

“Sehingga kini pun kerajaan masih memberi subsidi petrol RON95 kepada rakyat dengan harga RM2.05 seliter. Ini antara langkah dan keputusan yang diambil kerajaan agar tidak membebankan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Tualak di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan, Rafidah mencadangkan pemotongan gaji menteri bagi menunjukkan empati terhadap negara ketika rakyat bergelut dengan krisis ekonomi akibat COVID-19 dan krisis Russia-Ukraine.



Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, sebagai bekas menteri, Rafidah perlu memberikan idea yang lebih baik dan berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengetengahkan idea beliau.

“Kita tidak tahu apa maksud sebenar Rafidah mengenai potong gaji itu, adakah beliau benar-benar maksudkan atau hanya perli, beliau orang lama sepatutnya boleh beri idea yang lebih baik.

“Perkataan potong gaji ini seolah-olah berada dalam Dewan Rakyat, ia selalu diusulkan oleh pembangkang. Bagi saya, cadangan beliau bukan jalan penyelesaian untuk membantu rakyat menangani kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya.

Sementara itu, Mahdzir yang juga Naib Presiden UMNO ketika ditanya mengenai Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang digugurkan daripada ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button