KKM minta penjelasan, firma perlu bertanggungjawab

Oleh – Syeikh Baran


KKM minta penjelasan, firma perlu bertanggungjawab
Dr. Dzulkefly pada sidang akhbar selepas melawat program saringan kesihatan di Kampung Orang Asli Tun Abdul Razak, Kuala Kubu Baharu, hari ini. Foto M FIRDAUS M JOHARI/ KOSMO!

Kementerian Kesihatan (KKM) akan meminta penjelasan daripada Firma Farmaseutikal AstraZeneca berhubung pengeluaran vaksin Covid-19 yang memberi kesan sampingan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya akan meminta wakil daripada firma itu untuk membuat penjelasan dengan lebih teliti dan telus kepada semua pihak di negara ini.



“Kita boleh minta wakil AstraZeneca untuk membuat penjelasan dengan lebih teliti. Saya lebih mahu kalau ia menyebut secara telus kepada semua (iaitu) rakyat dan media.

“Mereka mesti bertanggungjawab seperti mana kita juga mesti bertanggungjawab. Tak ada apa yang mahu kita sembunyikan dan kita pertahankan mereka.

“Mereka firma farmaseutikal besar dan pembuat vaksin. Mereka mesti memberikan penerangan dan pencerahan bukan sahaja kepada rakyat di negara kita, tetapi secara global,” katanya.

Beliau berkata pada sidang akhbar selepas melawat program saringan kesihatan di Kampung Orang Asli Tun Abdul Razak, Kuala Kubu Baharu, hari ini.



Sebelum ini, Firma Farmaseutikal AstraZeneca dilaporkan mengakui dalam dokumen mahkamah bahawa vaksin Covid-19 mereka boleh menyebabkan kesan sampingan yang jarang berlaku.

Ia berikutan, vaksin yang dibangunkan firma terbabit bersama Universiti Oxford didakwa boleh menyebabkan kematian dan kecederaan serius dalam puluhan kes.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly turut menggesa agar semua pihak tidak cepat membuat rumusan berkait kenyataan dibuat oleh Firma Farmaseutikal AstraZeneca itu.

Beliau turut mengingatkan bahawa penggunaan vaksin ini mempunyai manfaat dan kebaikannya.



“Kes yang berlaku adalah sebanyak 0.9 peratus dalam satu juta. Letakkan perspektif itu, bandingkan dengan kebaikan dan manfaatnya.

“Saya minta saudara fikirkan secara logik, pembuktian, saintifik, baik buruknya, pro dan kontra dan letakkannya dalam perspektif,” jelasnya.

Sumber – KOSMO! ONLINE




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading