Penggalian Masjid al-Aqsa cetus curiga!

Baitulmaqdis: Pihak berkuasa agama Islam di Baitulmaqdis Timur mempersoalkan mengenai kerja penggalian mencurigakan oleh Israel di sekitar Masjid al-Aqsa.

The National News melaporkan kerja itu sedang dijalankan di kawasan bersebelahan dengan kawasan di luar Masjid al-Aqsa oleh agensi antikuiti Israel dan kumpulan pendatang haram Yahudi, kata Majlis Wakaf Islam, Hal Ehwal dan Tanah Suci.

“Sekumpulan pekerja dengan jentolak dan peralatan penggali bekerja dengan tergesa-gesa serta mencurigakan di kawasan itu,” kata pihak berkuasa itu dalam satu kenyataan.

Tanah dialihkan dan lubang sedang dibuat di dinding ke arah selatan masjid.

Pihak berkuasa itu sudah berbulan-bulan memantau kerosakan batuan arkeologi di kawasan itu oleh pekerja yang diupah oleh kumpulan pendatang haram Yahudi.

“Majlis memberi amaran mengenai sabotaj berterusan dan cubaan untuk mengubah ciri sejarah dan keagamaan tapak bersejarah ini,” katanya.

Ia juga menyeru supaya kerja penggalian dihentikan serta-merta di sekitar Masjid al-Aqsa.

Pekarangan Masjid al-Aqsa di Kota Lama Baitulmaqdis adalah tapak yang dianggap suci oleh umat Islam dan Yahudi serta titik tumpuan ketegangan Israel-Palestin.

Dikenali sebagai Haram Al Sharif kepada umat Islam dan kawasan itu merangkumi Masjid al-Aqsa dan Kubah al-Sakhrah.

Umat Islam percaya bahawa Nabi Muhammad SAW mengembara dari Makkah ke Baitulmaqdis dan naik ke langit dari tapak itu.

Orang Yahudi menganggap kawasan itu sebagai tempat paling suci dalam agama mereka dan percaya ia pernah menjadi tapak dua kuil.

Menurut rekod, Israel menawan Baitulmaqdis Timur, termasuk Kota Lama, daripada Jordan semasa perang pada 1967 dan kemudian mengilhakkan kawasan itu.

Israel kemudian mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu kotanya, tetapi langkah itu tidak diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

METRO

Leave a Reply