Pegawai JKM tak setuju Bella dijaga Siti Bainun

KUALA LUMPUR: Penolong Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sini, memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini, beliau tidak bersetuju remaja Sindrom Down dikenali Bella diletakkan di bawah jagaan Siti Bainun Ahd Razali, kerana tidak mengenali secara peribadi dan tidak mengetahui latar belakang pengasas Rumah Bonda berkenaan.

Mohamad Imran Mohamed Zanyuin, 35, yang juga pegawai pelindung Bella berkata, Mahkamah Majistret membenarkan hak penjagaan sementara remaja berusia 13 tahun itu kepada Siti Bainun selepas ia dimohon seorang lagi pegawai JKM dikenali Siti Sarah.

Saksi pendakwaan ke-12 itu berkata, mengikut persetujuan awal, kanak-kanak itu tidak sepatutnya ditempatkan di Rumah Bonda, sebaliknya di kediaman keluarga Siti Bainun yang didiami ibu dan kakaknya di Ampang.



Katanya, ia susulan beliau berpandangan kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) itu perlu diawasi pihak lain selain Siti Bainun, serta sistem sokongan keluarga penting untuk memastikan keselamatan Bella dipelihara.

“Pada 14 Julai 2020 adalah tarikh perintah jagaan Bella di JKM Taman Sinar Harapan, Seremban, tamat tempoh. Saya bawa Bella ke Mahkamah Majistret Kanak-Kanak Kuala Lumpur untuk mendapatkan satu perintah baharu ke atas penjagaan Bella, bermula 14 Julai hingga 20 September tahun sama.

“Mahkamah membenarkannya. Selepas itu, saya masuk pejabat akhlak sebelah mahkamah berkenaan dan dalam itu ada Siti Bainun. Pada ketika itu, Siti Bainun panggil Bella yang kemudian peluk pengasas Rumah Bonda berkenaan. Mereka dilihat berbual.

“Kemudian, Siti Sarah berjumpa saya dan menyampaikan hasrat Siti Bainun untuk menjaga Bella di mana pada awalnya saya tidak setuju. Siti Sarah mengatakan Siti Bainun ada menjaga dua OKU lain dan tiada kesalahan jenayah.



“Siti Sarah turut merujuk hasrat itu dalam mahkamah sebelum saya masuk menasihati majistret berkaitan perkara itu. Majistret maklumkan cuba letakkan kanak-kanak itu sementara dalam jagaan Siti Bainun dan pantau keadaan Bella ketika tempoh itu sebelum meminda balik permohonan (Bella terus tinggal di Taman Sinar Harapan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fazeedah Faik di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Siti Bainun, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini, di antara Februari dan Jun 2021.



Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mohamad Imran berkata, perintah mahkamah supaya Bella diletakkan di bawah jagaan tetap Siti Bainun dikeluarkan pada 24 September 2020.

“Mahkamah menetapkan enam syarat membabitkan perintah itu, termasuk pegawai pelindung berhak melawat kanak-kanak itu di mana dia berada.

“Orang yang layak (Siti Bainun) berhak hendaklah dari semasa ke semasa berbincang dengan pegawai pelindung jika timbul masalah, selain memberi pendidikan dan kasih sayang tanpa diskriminasi.



“Selain itu, orang yang layak perlu memastikan perbuatan aniaya dan abai kanak-kanak itu tidak berlaku,” katanya.

BHOnline


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading