Orang ramai serbu pasar buat persiapan Aidiladha

Kota Bharu: Kehadiran orang ramai membeli barang keperluan untuk sambutan Aidiladha menceriakan suasana pasar basah di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini, hari ini.

Tinjauan mendapati orang ramai mengunjungi pasar itu seawal 7 pagi untuk membeli barangan basah seperti ayam, daging dan sayur-sayuran.

Pekerja swasta, Wanida Ismail, 42, berkata dia lebih gemar membeli barang basah di RTC Tunjong kerana lebih banyak pilihan selain harga barangan juga berpatutan walaupun di musim perayaan.

“Kebiasaannya saya datang membeli barang basah di pasar ini seminggu sekali, namun pada hari ini barang yang dibeli lebih banyak daripada biasa untuk persiapan Aidiladha pada Ahad ini.

“Saya datang awal untuk membeli barang keperluan bagi mengelak kesesakan memandangkan sudah ada perantau yang mula balik ke kampung dan pada masa sama turut menyenaraikan barang mahu dibeli untuk memudahkan urusan,” katanya ketika ditemui, di sini.

Suri rumah, Salmiah Ismail, 46, berkata dia keluar rumah selepas solat Subuh untuk membeli barangan basah antaranya daging lembu, ayam dan ikan untuk hidangan pada Aidiladha ini.

“Memang kena beratur dan walaupun orang agak ramai tetapi masih belum sampai pada tahap yang sesak sehingga sukar untuk bergerak.

“Sambutan Aidiladha kali ini lebih meriah berbanding dua tahun lalu apabila kini suasana di pasar kembali riuh dengan kehadiran orang ramai yang membuat persiapan,” katanya.

Sementara itu, peniaga ayam, Nurul Aniezah Ab Rahman, 43, berkata permintaan ayam pada musim perayaan meningkat lebih tiga kali ganda dan dia menjual ayam di bawah harga siling iaitu RM9 sekilogram.

“Sebanyak 200 ekor ayam sudah habis dijual berbanding hari biasa hanya 40 ekor yang terjual. Mujur bekalan mudah diperolehi untuk menampung permintaan pelanggan pada musim perayaan ini,” katanya.

METRO

Leave a Reply