Mahu pindah tempat baharu, masih terbayang isteri, ibu

Baling: “Saya tidak lagi mahu tinggal atau bina rumah di tapak asal rumah kami kerana bimbang kejadian kepala air akan berlaku lagi, sehingga kini pun saya masih membayangkan bagaimana isteri dan ibu saya dihanyutkan arus deras,” kata Muhammad Khairul Asyraf Nor Azman, 24.

Suami kepada mangsa lemas Nurul Anis Abu Hassan, 23, ini berkata kejadian kepala air pada Isnin lalu adalah tragedi yang tidak pernah dijangka oleh keluarganya memandangkan rumah mereka jarang dimasuki air sekiranya air sungai melimpah.

“Saya sudah 18 tahun duduk di rumah itu, banyak kenangan saya bersama keluarga, apatah lagi umat Islam bakal menyambut Hari Raya Aidiladha pada Ahad ini.

“Pada Aidilfitri lalu, isteri saya masak laksa manakala ibu saya sediakan rendang untuk dimakan bersama lemang, namun yang tinggal kini hanya kenangan bersama mereka,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai, di sini, semalam.

Dalam kejadian bencana banjir dan kepala air petang Isnin lalu, Muhammad Khairul Asyraf kehilangan isteri dan ibunya Salmah Mat Akib, 53, serta adiknya, Muhammad Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, dihanyutkan arus deras.

Kejadian itu turut memusnahkan rumah mereka di Lata Celak, Kampung Iboi, mukim Kupang di sini.

Sementara itu, suami kepada Salmah, Abdul Rahman Said, 71, berharap dapat membeli tanah dengan harga murah bagi membina rumah baharu kepada anak-anak tirinya.

Katanya, mereka sekeluarga tidak mungkin akan tinggal di kawasan rumah yang dihanyutkan berikutan trauma dengan kejadian kepala air Isnin lalu.

“Keadaan di Gunung Inas tidak selamat untuk kami, penduduk berdekatan sungai, kawasan di atas sana banyak dibersihkan dan ada kolam air untuk projek Musang King, ketiadaan pokok untuk menyerap air hujan menyebabkan ia mengalir laju ke Sungai Kupang.

“Selain itu saya bimbang kolam di atas sana akan pecah dan dikhuatiri lebih berisiko untuk kami yang tinggal di Lata Celak, walaupun tapak rumah mempunyai geran tanah tapi biarlah kami berpindah ke tempat lain,” katanya yang mendirikan rumahtangga bersama Salmah empat tahun lalu.

Abdul Rahman berkata, rumah yang dihanyutkan kepala air sebelum ini adalah rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan mempunyai geran atas nama ibu saudara anak-anaknya.

Biarpun hanya bapa tiri, katanya dia tidak akan lepas tangan kerana menyayangi anak-anaknya tirinya seperti anak kandung sendiri.

“Saya akan gunakan wang hasil derma orang ramai sebaik mungkin, sebahagian saya akan wakafkan atas nama arwah isteri saya dan sebahagian lagi akan digunakan untuk memasuki rumah baharu selepas ini .

“Arwah isteri ada empat anak, kini hanya tinggal tiga, walaupun mereka sudah dewasa namun saya tidak akan abaikan tanggungjawab. Biarlah mereka terus tinggal bersama saya walaupun tidak tahu akan tinggal di mana selepas dapat keluar dari PPS itu nanti,” katanya.

METRO

Leave a Reply