Pasangan kekasih ditahan, ganja RM750,000 dirampas

BUKIT MERTAJAM: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah susulan penahanan sepasang kekasih dan merampas ganja seberat 300 kilogram (kg) bernilai RM750,000 ketika serbuan di sebuah rumah di Taman Impian, di sini, Sabtu lalu.

Serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perlis dengan kerjasama JSJN Bukit Aman dan Pulau Pinang, kira-kira jam 9 malam.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad, berkata JSJN Perlis mendapat maklumat berkaitan kegiatan pengedaran ganja dipercayai diseludup masuk dari Thailand melalui jalan laut.



Beliau berkata, JSJN Perlis kemudian mengekori sebuah van dipercayai membawa dadah sehingga ke Pulau Pinang dan membuat serbuan di sebuah rumah sewa didiami lelaki warga tempatan berusia 41 tahun dan wanita warga Indonesia berusia 37 tahun.

“Pemeriksaan lanjut ke atas rumah itu menemui 12 kotak polisterin yang setiap satu mengandungi 24 ketulan mampat ganja yang disembunyikan di sekitar kawasan kediaman berkenaan.

“Kesemua dadah itu kemudian dirampas dan dua suspek yang bekerja sebagai peniaga itu ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, di sini, hari ini.

Jelasnya, siasatan mendapati rumah sewa didiami suspek dijadikan transit sebelum dadah itu dipasarkan ke Lembah Klang.



“Kedua-dua suspek ini adalah ahli sindiket pengedaran dadah namun siasatan lanjut masih diteruskan ke atas mereka bagi mengetahui sejak bila kegiatan ini beroperasi.

“Semakan mendapati suspek lelaki dan wanita itu tidak mempunyai surat nikah namun mereka tinggal bersama di tempat kejadian.

“Dalam pada itu, suspek wanita juga didapati pendatang tanpa izin (PATI) apabila pemeriksaan tidak menemui sebarang dokumen,” katanya.

Surina berkata, dua suspek itu juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing ke atas mereka negatif.



“Kedua-dua suspek itu kini direman tujuh hari sehingga Sabtu ini.

“Dadah yang dirampas itu dipercayai untuk kegunaan 600,000 penagih,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button