Tommy Thomas mohon kerajaan batalkan saman Najib didengar 12 Ogos
KUALA LUMPUR: Permohonan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan Kerajaan Malaysia, untuk membatalkan saman difailkan terhadap mereka oleh Datuk Seri Najib Razak, akan didengar pada 12 Ogos ini.
Najib memfailkan saman itu pada 22 Oktober tahun lalu bagi menuntut ganti rugi RM1.9 juta kerana mendakwa Thomas dan kerajaan menyalahgunakan kuasa dengan mengemukakan pendakwaan terhadapnya dalam beberapa kes termasuk kesalahan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Peguam, Yudistra Darma Dorai, yang mewakili Najib, ketika dihubungi berkata, tarikh itu ditetapkan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache, pada pengurusan kes saman berkenaan yang dijalankan secara dalam talian hari ini.
Thomas dan kerajaan melalui notis difailkan pada 18 November tahun lalu, memohon mahkamah membatalkan saman berkenaan dengan alasan jika diteruskan dan didengar akan menyebabkan kes jenayah terhadap Najib yang sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi akan tergendala.
Kedua-dua defendan itu berkata, saman berkenaan juga adalah tindakan serangan sampingan oleh Najib bagi menghalang pendakwaan jenayah terhadapnya.
Melalui afidavit sokongan diikrarkan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad, Akram Gharib, menyatakan mengikut Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dan subseksyen 376(1) Kanun Acara Jenayah, Peguam Negara sebagai Pendakwa Raya mempunyai kuasa menurut budi bicaranya untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan jenayah.
Katanya, keputusan Pendakwa Raya adalah berdasarkan fakta dan keterangan setiap kes di mana tindakan Najib memfailkan saman itu adalah suatu percubaan untuk menghalang Pendakwa Raya daripada menjalankan tugasnya di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, Najib melalui writ saman dan pernyataan tuntutannya, berkata beliau didakwa membabitkan kes 1MDB, International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) dan pengubahan wang haram mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Najib berkata, pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada perbuatan yang sudah dirancang lebih awal oleh Thomas selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.
Menurut Najib, pada tahun 2015, Thomas berjumpa Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membincangkan kesalahan dan salah urus yang kononnya dilakukan kepada dana 1MDB dan menasihati Dr Mahathir supaya mengambil tindakan sivil dan jenayah terhadapnya (Najib) berhubung pembabitan dalam syarikat pelaburan negara itu.
Bekas Perdana Menteri dengan itu menuntut perisytiharan bahawa Thomas melakukan salah laku dalam jawatan awam dan menuntut ganti rugi lebih RM1.9 juta, termasuk bayaran rundingan untuk pasukan audit melakukan semakan dokumentasi bagi penyediaan fakta bagi menangani pendakwaan terhadapnya.
BHOnline