3 Geng 04 antara 45 dicekup

Melaka: Tiga lelaki disyaki ahli kumpulan kongsi gelap Geng 04 antara 45 individu dicekup dalam Operasi Bersepadu Cegah Jenayah Polis Kontinjen Melaka malam tadi.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, ketiga-tiga suspek berusia 40 hingga 46 tahun itu ditahan hasil pemeriksaan dilakukan pasukan Op Cantas dalam operasi selama enam jam bermula 10 malam.

Menurutnya, seramai 39 pegawai kanan polis dan 187 pegawai pangkat rendah selain dua pegawai dan 19 anggota Jabatan Imigresen Melaka (JIM) terbabit operasi itu yang memfokuskan pencegahan jenayah dan menangkap penjenayah dikehendaki termasuk kalangan pendatang tanpa izin (PATI).



“Hasil pemeriksaan dilakukan pegawai dan anggota polis mendapati ketiga-tiga mereka mempunyai beberapa tatu pada anggota badan dipercayai berkaitan kongsi gelap Geng 04 yang diharamkan dan ditahan mengikut Akta Pertubuhan 1966.

“Keseluruhannya sepanjang operasi kita memeriksa 600 individu termasuk 90 warga asing dan 45 orang ditangkap atas pelbagai kesalahan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Zainol daripada jumlah itu 34 individu ditangkap atas pelbagai kesalahan jenayah mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Rumah Judi Terbuka 1953.



“Turut ditangkap tiga individu atas kesalahan jenayah narkotik mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana positif dadah.

“Selain itu lima warga Rohingya ditahan mengikut Seksyen 51(3) dan 51(5) (B) Akta Imigresen 1959/63

kerana tiada sebarang dokumen dan menggunakan dokumen palsu,” katanya sambil menambah semua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka untuk dokumentasi.



Beliau berkata, sepanjang operasi itu juga sebanyak 449 kenderaan diperiksa dan 111 saman Pol. 257 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.

Sementara itu, wartawan yang mengikuti operasi polis bersama JIM di Kampung Pengkalan Rama dan di Semabok mendapati warga Rohingya berlagak ‘kebal’ dengan memiliki kad atau surat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) ketika pemeriksaan.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button