Peruntukan khas PM terhad, ikut kemampuan kewangan kerajaan

KUALA LUMPUR: Peruntukan khas Perdana Menteri yang diberi untuk kawasan Parlimen tertentu hanyalah sebagai penambah dan pelengkap kepada peruntukan di bawah Rancangan Malaysia lima tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata penyediaan dan penyaluran peruntukan itu adalah mengikut dasar sedia ada dan tertakluk kepada kemampuan semasa kewangan kerajaan.

Selain itu, beliau berkata, cadangan pelaksanaan dasar penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik sudah dipersetujui bagi dibentangkan di mesyuarat Jemaah Menteri untuk pertimbangan, selaras dasar semasa kerajaan.



“Kajian terperinci perlu dilaksanakan selaras dasar ditetapkan di bawah Laporan Semakan Semula Pelan Antirasuah Nasional (NACP) berhubung kajian penggubalan RUU baharu berkaitan sumbangan dana politik.

“Sesi libat urus perlu dilaksanakan dengan pelbagai pihak sebelum undang-undang baharu ini dapat diperkenalkan bagi memastikan mekanisme pelaksanaan yang berkesan kelak.

“RUU ini penting kerana sehingga kini, tiada undang-undang atau peraturan yang mengawal selia pembiayaan politik. Ia dapat mengelak risiko rasuah serta penyalahgunaan kuasa membabitkan ahli politik melalui pelaporan dana politik yang berteraskan prinsip ketelusan dan akauntabiliti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai), bertanyakan sama ada kerajaan bersedia menggubal suatu RUU berhubung pendanaan politik serta menyediakan dana pembangunan bagi kawasan Parlimen yang sama rata dan adil buat semua ahli Dewan Rakyat.



Dalam pada itu, menjawab soalan Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PH-Johor Bahru), Wan Junaidi berkata, kerajaan melalui Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) sudah mengadakan beberapa sesi libat urus dengan pihak berkepentingan supaya laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) lebih adil dan dapat memberi gambaran yang sebenar.

“CPI Malaysia untuk 2021 dikira berdasarkan sembilan daripada 13 kajian yang dilaksanakan oleh pelbagai agensi antarabangsa. Laporan itu menunjukkan Malaysia menduduki tempat kedua terbaik selepas Singapura, daripada sembilan negara ASEAN yang terbabit.

“Antara perkara yang mempengaruhi skor dan kedudukan negara dalam CPI adalah soalan berbeza yang digunakan antara negara, responden atau kumpulan sasar serta jumlah penglibatan negara yang berbeza setiap tahun. Sebagai contoh, kajian CPI 2021 tidak membabitkan Brunei,” katanya.

Akmal bertanyakan mengenai langkah diambil kerajaan untuk memastikan negara dapat meningkatkan kedudukan atau ranking dalam Global Rankings of Transparency International Malaysia (TI-M) dan CPI.



“Kesediaan Malaysia untuk dinilai dalam CPI 2021 menunjukkan ketelusan dan komitmen Malaysia dalam penambahbaikan tadbir urus.

“Sehubungan itu, kerajaan kekal komited untuk melaksanakan inisiatif yang digariskan di bawah Pelan Antirasuah Nasional (NACP).

“Bagaimanapun, harus kita ingat bahawa usaha penambahbaikan adalah bersifat jangka panjang dan hasilnya juga akan hanya dapat dilihat dalam jangka masa akan datang,” katanya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button