Kerajaan gagal kesan masalah kewangan syarikat pembina kapal LCS – PAC

KUALA LUMPUR: Kajian daya maju (due diligence) yang dilakukan oleh kerajaan terhadap syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) untuk pembinaan lima kapal Littoral Combatant Ship (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) gagal mengesan masalah kewangan syarikat berkenaan.

Ia dibuktikan apabila kerajaan terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion kepada BNS, bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 5 Tahun 2007 yang berkuat kuasa ketika itu.

Ia adalah antara sembilan rumusan yang diperolehi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menerusi prosiding berkaitan kontrak berkenaan.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, dalam kenyataan media hari ini berkata kontrak projek LCS diberikan oleh kerajaan kepada syarikat BNS secara rundingan terus.

“Kerajaan telah membayar sejumlah RM6.083 bilion untuk projek LCS, namun tiada sebuah kapal LCS pun yang disiapkan. Menurut jadual asal, setakat Ogos 2022 sepatutnya lima buah kapal LCS harus disiap dan diserahkan,” katanya.

Beliau berkata PAC juga mendapati pandangan TLDM selaku pengguna akhir tidak diendahkan oleh Kementerian Pertahanan dan BNS dalam pelaksanaan projek LCS.

Katanya, pada asalnya, reka bentuk kapal jenis SIGMA pilihan TLDM telah dipersetujui oleh Menteri Pertahanan tetapi keputusan itu telah berubah kepada reka bentuk kapal jenis GOWIND pada 11 Julai 2011 atas cadangan BNS yang dibawa kepada Menteri Pertahanan pada 8 Julai 2011.

“Memetik kenyataan Tan Sri Abdul Aziz, Panglima TLDM pada ketika itu, keputusan tersebut adalah “something is gravely wrong”,” katanya.

PAC juga mendapati terma kontrak adalah lemah dan tidak memihak kepada kerajaan yang mana pembayaran projek LCS berdasarkan kemajuan aktiviti atau pembekalan item dan bukan berdasarkan kemajuan sebenar.

“Ini adalah luar biasa dan menyebabkan bayaran kemajuan LCS1 melebihi kemajuan kerja sebenar sebanyak 21.1% (bayaran sebanyak 63.8% berbanding kemajuan kerja sebenar sebanyak 42.7%),” katanya.

BHOnline

Leave a Reply