Mangsa banjir di PPS dibenarkan pulang

Baling: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Tun Abdul Razak, di sini, ditutup jam 10 pagi hari ini manakala PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Puan Habsah masih dibuka.

Seramai 14 mangsa banjir daripada tiga keluarga di PPS Dewan Tun Abdul Razak dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hari ini.

Timbalan Pegawai Pertahanan Awam (APM) Daerah Baling, Lt (PA) Mohd Dzulhaidy Khalil berkata, mangsa di PPS dibenarkan pulang manakala 13 mangsa daripada empat keluarga masih berada di PPS SK Tunku Puan Habsah.

Beliau berkata, mangsa di PPS Dewan Tun Abdul Razak dibenarkan pulang kerana keadaan pulih dan cuaca kembali cerah.

“Cuaca kembali cerah dan paras air Sungai Baling sudah surut, semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing kecuali mangsa di PPS SK Tunku Puan Habsah,” katanya.

Dalam kejadian banjir kilat semalam, air Sungai Charok Juan dan Baling melimpah dengan cepat berbanding kejadian sebelumnya.

Berikutan itu, penduduk di Kampung Batu Tujuh Rambong, Charok Juan, Telok Sanau dan Bendang Sera dilanda banjir kilat setinggi satu meter dalam rumah.

METRO

Leave a Reply