Rokok seludup RM1 juta dirampas dalam 3 serbuan

TUMPAT: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 900,040 batang rokok seludup pelbagai jenama dengan nilai keseluruhan hampir RM1 juta termasuk cukai melalui tiga serbuan berasingan pada malam Selasa lalu.

Dalam serbuan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang mengambil upah untuk membawa bekalan rokok itu dari selatan tanah air ditahan.

Pengarah Kastam negeri, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long, berkata suspek ditahan dalam serbuan di tepi Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di Kampung Gong Stopa, bersama sebuah kereta jenis Perodua Bezza membawa kira-kira 100 karton rokok seludup.



Semua stok rokok terbabit, katanya dijumpai di tempat duduk penumpang belakang serta bonet.

“Siasatan mendapati suspek menerima upah RM15 untuk setiap satu peti rokok yang dibawa mengandungi 100 karton,” katanya ketika sidang media di pejabat Cawangan Penguatkuasaan Pengkalan Kubor di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil tangkapan itu membawa kepada dua serbuan susulan masing-masing di Pasir Puteh dan Machang, membabitkan dua rumah yang disyaki dijadikan sebagai transit penyimpanan rokok seludup sebelum diagihkan untuk pasaran tempatan.

“Dalam serbuan di rumah tidak bernombor di Kampung Gong Dato’ Pasir Puteh, sejumlah 28,800 batang rokok seludup dirampas, manakala 850,700 batang rokok sama dirampas dalam serbuan di Taman Sri Machang, dekat Machang.



“Modus operandi digunakan adalah membawa masuk rokok menggunakan kenderaan penumpang dengan jumlah sedikit dan menyimpan di lokasi transit sebelum diedarkan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) dan 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Mengulas kawalan sempadan sempena Ramadan, Wan Jamal Abdul Salam berkata, pihaknya menjalankan Op Makmur bermula awal Ramadan sehingga 16 April ini.

Beliau berkata, operasi membabitkan tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang itu memfokuskan kawalan di sempadan negara.



“Untuk Kelantan, kita sudah kenal pasti kawasan yang menjadi lokasi panas kegiatan penyeludupan dan untuk Tumpat sahaja, lebih 40 pangkalan haram aktif dikesan sebagai lokasi jenayah rentas sempadan,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button