‘Saya tidak faham bagaimana saksi tidak berguna ini dipanggil’ – Shafee

Kuala Lumpur: Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ‘panas’ apabila seorang saksi dalam perbicaraan kes penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) gagal ‘mengingati’ dan ‘tidak pasti’ terhadap beberapa soalan yang dikemukakan.

Muhammad Shafee yang mewakili Datuk Seri Najib Razak menyoal balas bekas Setiausaha Bahagian Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan dan Aktuari (BPKA) Kementerian Kewangan, Datuk Siti Zauyah Mohd Desa.

Namun, saksi pendakwaan ke-26 itu gagal membuat pengesahan banyak dokumen ketika disoal balas Muhammad Shafee.



Siti Zauyah berulang kali menjawab ‘tidak pasti’ dan ‘tidak tahu’ apabila disoal Muhammad Shafee ketika mengesahkan beberapa dokumen dan emel.

Saksi pendakwaan itu memaklumkan penyataan saksi disediakan dua pegawainya dan hanya ditunjukkan kepadanya pada saat akhir.

Siti Zauyah adalah saksi pendakwaan dalam perbicaraan membabitkan Najib yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Prosiding pemeriksaan terhadap saksi pendakwaan itu kemudiannya ditangguhkan seketika bagi membolehkan perbincangan lanjut dijalankan.



“Saya tidak faham bagaimana saksi ini dipanggil kerana ia tidak berguna kepada kami. Perkara ini tidak membawa kami ke mana-mana dan adalah pertama kali saya bertemu dengan saksi macam ini,” kata Muhammad Shafee di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.

Najib yang memakai sut biru gelap hadir dan duduk di kandang tertuduh.

Terdahulu, Najib tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 8.30 pagi dari Penjara Kajang dengan diiringi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Penjara Malaysia.

Ini adalah kemunculan pertama bekas Perdana Menteri itu yang menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta selepas Najib didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button