Sisa basuhan bahan berbahaya disyaki punca air parit bertukar biru, berbuih
Sisa basuhan bahan berbahaya disyaki punca air parit bertukar biru, berbuih

MELAKA: Sisa cucian tong mengandungi bahan buangan berbahaya yang dialirkan ke dalam saliran air didakwa menjadi punca pencemaran parit di Jalan Haji Said, Kampung Bukit Bayan, Bukit Katil, di sini, yang tular semalam.
Kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 4 petang apabila air parit yang jernih bertukar kebiruan dan berbuih putih serta berbau busuk.
Penduduk, Mohd Nizam Abdullah,57, berkata kejadian pertama kali berlaku sepanjang 20 tahun menetap di kampung itu disedari jam 4.15 petang ketika dia pulang dari kerja.
“Saya melihat air parit di hadapan rumah bertukar biru dan buihnya memenuhi parit.
“Penduduk beritahu ada orang buang sisa yang saya tidak tahu bendanya, tetapi berwarna biru dan berbuih-buih sehingga menyebabkan banyak ikan mati,” katanya.
Mohd Nizam berkata, beliau turut merakam foto yang dikongsikan melalui kumpulan WhatsApp sebelum ada penduduk membuat laporan polis.
“Saya bimbang pencemaran ini menjejaskan sumber air kerana parit ini mengalir ke Sungai Duyong. Harap pihak berwajib dapat ambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Sementara itu, tinjauan petang tadi mendapati keadaan air parit sudah bertukar jernih, namun masih terdapat sisa buih dan bangkai ikan terapung selain bau seperti racun rumpai.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka, Rosli Mustafa mengesahkan pihak yang dipercayai menyebabkan kejadian itu sudah dikenal pasti.
“JAS terima aduan kira-kira 7.30 malam semalam sebelum sepasukan pegawai ke lokasi untuk siasatan.
“Sisa buangan diambil di parit berkenaan juga sudah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia hari ini dan kita masih menunggu laporan analisis sampel,” katanya yang turut mengarahkan pembersihan sisa buangan dilakukan.
Sisa basuhan bahan berbahaya disyaki punca air parit bertukar biru, berbuih
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- Bikin Malu!, hanya 300 orang hadir ceramah Muhyiddin
- PMX Anwar Ibrahim perlu pasukan Kabinet lebih jitu
- PAS takut pertandingkan jawatan “Top 5”
LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :