Noah perlukan RM35,000

Seremban: Selepas lebih dua tahun usaha untuk mendapatkan rawatan terbaik buat Noah Ulhaq tertangguh akibat pandemik Covid-19, bapa kanak-kanak ini, kini meneruskan usaha itu demi memastikan masa depan anaknya.

Noah berusia lima setengah tahun menghidap pelbagai komplikasi penyakit sejak lahir termasuk lima komplikasi kesihatan iaitu sindrom noonan (kelainan genetik), jantung berlubang, angin pasang, jangkitan kuman dalam paru-paru dan talasemia, yang memerlukan rawatan lanjut.

Mohd Nor Hafiz Md Shari, 37, berkata, mengikut perancangan awal, Noah yang juga anak bongsu daripada empat beradik dan mesra dipanggil Adam, sepatutnya menerima rawatan secara berperingkat di Hospital Antarabangsa Bumrungrad, Bangkok, Thailand.



Peniaga kecil ini berkata, bagaimanapun perancangan itu tidak dapat dilakukan kerana pandemik Covid-19 menyebabkan ia tertangguh sehingga kini.

“Selain itu, saya juga sukar menyediakan RM41,000 bagi keperluan rawatan Noah.

“Sebelum ini, Noah mendapat rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) namun, atas sebab-sebab tertentu, rawatan ‘clubfoot’ Noah terpaksa dibuat di luar negara.

“Alhamdulillah, tahun lalu rawatan ini hampir berjaya namun akibat pandemik, rawatan gagal dihabiskan,” katanya ditemui di sini, hari ini.



Mohd Nor Hafiz berkata, kos rawatan Noah agak tinggi kerana membabitkan beberapa pembedahan dan pihaknya merancang untuk membawa anaknya itu mendapatkan rawatan di Bangkok, secepat mungkin.

“Setakat ini, wang terkumpul sebanyak RM5,500 hasil simpanan dan bantuan daripada orang ramai serta rakan-rakan, kami memerlukan sekitar RM35,000 lagi untuk menampung keperluan itu.

“Saya dan isteri, Suhaila Suid, 37, terpaksa merayu bantuan orang ramai bagi membolehkan proses rawatan dan pembedahan anak tidak tergendala,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Noah juga bergantung sepenuhnya dengan susu khas yang perlu diberikan setiap 3 jam dengan kos RM1,000 sebulan.



“Saya mengharapkan kerjasama, sokongan dan bantuan orang ramai dan mereka yang ingin membantu boleh menghubungi saya di talian 011-16650548,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button