JEDDAH: Di bawah Undang-Undang Jenayah Siber Arab Saudi, ‘prankster’ atau tukang usik boleh didenda 5 juta riyal (RM5.9 juta) dan penjara tiga tahun, jika disabit kesalahan.
Menurut pakar undang-undang, Dr. Majed Garoub kepada Arab News, hantaran berbaur usikan dalam media sosial merupakan jenayah di negara ini dan disifatkan secara mencabul Undang-Undang Jenayah Antisiber.
“Pesalah boleh dikenakan denda antara 500,000 riyal (RM599,796) hingga 5 juta riyal atau penjara selama enam bulan sehingga tiga tahun.
“Pesalah juga boleh dikenakan kedua-dua hukuman, bergantung kepada jenis kesalahan yang dilakukan,” katanya kepada Arab News.
Jelas beliau, memuat naik hantaran dalam bentuk usikan dalam media sosial tetap menyalahi undang-undang biarpun guaraun itu sudah mendapat kebenaran daripada pihak tertentu.
Katanya, jenayah tetap jenayah dan mana-mana pihak yang menyukai atau ulang ciap hantaran usikan tersebut juga bakal berdepan tindakan undang-undang.
“Bagi pesalah bawah umur, mereka akan diadili sewajarnya mengikut perundangan yang ditetapkan.
“Sebelum hukuman dikenakan, pasukan penyiasat akan menyelidik semua aspek, termasuk umur pesalah dan jenis kesalahan yang dilakukan,” ujarnya.
Selain itu, Majed menjelaskan, usikan dalam media sosial adalah berbeza dengan yang ditunjukkan dalam televisyen.
Jelasnya, program usikan yang disiarkan dalam televisyen sudah ditapis dan dikategorikan sebagai hiburan untuk tontonan umum.
Bagi hantaran usikan dalam media sosial, ia kebiasaannya bersikap sensitif, sama ada menyentuh isu perkauman, agama, dan politik.
Seorang pempengaruh media sosial, Hasan Faleh al-Nahsi berkata, kebanyakan pengguna media melakukan usikan hanya kerana ingin mendapatkan lebih banyak pengikut.
“Perkara itu sudah menjadi fenomena dalam dunia media sosial di seluruh dunia, tanpa mereka sedar banyak hal bertentangan dengan norma biasa,” ujarnya.