MOTAC iktiraf produk pelancongan melalui program MyTQA



Program MyTQA yang mula diperkenalkan pada tahun 2014 merupakan inisiatif bagi memberikan pengiktirafan kepada produk pelancongan serta memberi penekanan kepada penggiat industri pelancongan supaya lebih mengutamakan mutu perkhidmatan yang disediakan dan keperluan untuk menaiktaraf kualiti kemudahan produk pelancongan di Malaysia.

Penstrukturan semula kategori di bawah MyTQA dari 13 kategori sedia ada kepada 7 kategori baharu adalah berdasarkan segmen-segmen yang telah dikenalpasti di bawah Dasar Pelancongan Negara (DPN 2020 – 2030) seperti Nature, Adventure & Eco Tourism, Sports & Recreation Tourism, Shopping & Lifestyle Tourism, Aqua & Marine Tourism, Culture & Heritage Tourism, Man Made Tourism dan Business Event Tourism.

Penstrukturan semula kategori ini memberi ruang dan peluang kepada lebih ramai pemain industri untuk memohon pengiktirafan di bawah Program MyTQA ini.

Sehingga kini sebanyak 61 buah produk pelancongan dari pelbagai kategori di seluruh Negara telah menerima pengiktirafan MyTQA dan bilangan produk ini akan bertambah memandangkan bagi tahun 2022 sahaja pihak MOTAC telah menerima 28 permohonan baharu dan penilaian semula.



Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Hajah Nancy Shukri, dalam ucapan perasmiannya bertempat di Panggung Sari, Kompleks Kraftangan Malaysia berkata, “Program MyTQA akan berperanan sebagai rujukan kepada orang ramai untuk memilih produk pelancongan yang terbaik untuk dilawati.

Penekanan oleh setiap produk pelancongan terhadap aspek Facility, Safety Practices, Staff & Business Operator, Appearance & Experience, Marketing & Promotion dan Sustainable Practices menjadikan produk pelancongan yang telah menerima pengiktirafan MyTQA lebih diyakini untuk dikunjungi oleh para pelancong.”

Selain itu, pengenalan Program MyTQA Versi Baharu ini juga memberi peluang kepada lebih ramai pemain industri untuk menyertainya dan pada masa yang sama dapat meningkatkan tahap kualiti perkhidmatan yang ditawarkan. Para pemain industri juga digalakkan untuk menawarkan pakej yang lebih menarik kepada pelancong dalam dan luar negara.

“MOTAC juga sentiasa bersedia untuk memperluaskan Program MyTQA ini kepada lain- lain pemain industri di bawah sektor pelancongan, seni dan budaya bergantung kepada kesesuaian serta keperluan dari semasa ke semasa. Kerjasama yang berterusan daripada para penggiat industri amatlah diharapkan supaya dapat bersama-sama MOTAC dalam menjayakan Program MyTQA ini,” tambah beliau lagi.



Dalam majlis yang sama, Nancy turut berkesempatan menyampaikan Sijil Pengiktirafan MyTQA kepada enam (6) buah produk pelancongan yang telah berjaya iaitu Pavilion Shopping Mall, Kuala Lumpur, Gunung Mulu National Park, Lambir Hills National Park, UK Farm, Farm In The City dan KL Tower Mini Zoo dan memaklumkan lebih banyak lagi produk akan menerima pengiktirafan ini dalam masa terdekat.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker