Tegur pelanggan bising di kedai, peniaga dipukul

AMPANG: Akibat menegur dua pelanggan yang membuat bising dalam kedai runcit, seorang peniaga cedera dipukul pelanggan terbabit di Taman Pandan Cahaya di sini, semalam.

Kejadian berlaku pada jam 9.30 malam ketika tiga lelaki masuk ke dalam kedai mangsa yang juga lelaki berusia 25 tahun untuk membeli minuman keras.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata ketika dalam kedai itu, dua daripada mereka bersuara tinggi menyebabkan mangsa menegur kedua-dua lelaki itu dan meminta mereka keluar.



“Selepas itu apabila mangsa keluar dari kedai, dua lelaki berkenaan datang ke arahnya lalu memukul bahagian dada dan belakang badan peniaga itu menggunakan tangan serta kayu.

“Pada masa sama, orang awam yang berada di sekitar lokasi dan menyaksikan kejadian bersama seorang lagi rakan suspek membantu meleraikan pergelutan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan kejadian, Mohamad Farouk berkata, mangsa mengalami kecederaan di bahagian lengan kiri, belakang badan dan dada.

Beliau berkata, sepasukan polis yang menerima maklumat kejadian ke lokasi dan menahan kedua-dua suspek berusia 23 serta 26 tahun, selain merampas sebatang kayu digunakan dalam kejadian itu.



“Pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek warga Myanmar dan tidak bekerja. Semakan mendapati mereka juga tidak mempunyai dokumen perjalanan sah,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button