Sukan berbilang kaum

Kuala Lumpur: Bukan saja berkelas dunia, badminton adalah contoh terbaik konsep Keluarga Malaysia dengan pembabitan pemain berbilang bangsa walaupun majoritinya masih kaum Cina.

Umum dapat melihat pembabitan semua kaum dalam sukan itu bermula dari era Datuk Punch Gunalan, diikuti penguasaan anak-anak Sidek dan kemudian Datuk Lee Chong Wei yang mengharumkan nama di pentas antarabangsa.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Norza Zakaria berkata, BAM melakukan usaha keras untuk memberi ruang kepada semua kaum menunjukkan kebolehan mereka.



Katanya, banyak proses yang dilakukan oleh BAM kerana bangsa itu tidak memainkan peranan utama tetapi ia berpandukan kemampuan dan ruang yang diberikan setimpal kepada semua kaum.

“Kita beri ruang kepada semua kaum untuk menunjukkan kebolehan mereka. Inilah konsep Keluarga Malaysia dan semakin lama semakin ramai pemain berbilang kaum ada di Akademi Badminton Malaysia.

“Perkembangan ini disebabkan program yang dilakukan oleh BAM tidak tertumpu kepada satu kaum jadi, malah pembabitan semua peserta dari setiap negeri juga diberi keutamaan.



“Sekarang kita ada beregu dari Pantai Timur, Wan Arif Wan Junaidi-Mohd Haikal Nazri, beregu wanita Cina dan India, Pearly Tan-M Thinaah, pasangan Cina dan Melayu, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Siti Nurshuhaini Azman dan ramai lagi,” katanya.

Tegasnya, ketika ini juga tiada isu lagi pemain hanya terdiri daripada mereka yang berasal dari Pulau Pinang, Kuala Lumpur mahupun Selangor dengan pencarian diperluaskan ke semua negeri.

Sementara itu, ketua jurulatih olahraga negara, Mohd Manshahar Abdul Jalil berkata, beliau tidak mempunyai masalah untuk melatih atlet pelbagai bangsa kerana semua mempunyai misi yang sama, malah semua atlet sedar ikatan perpaduan dalam sukan.

“Semua berlatih untuk mewakili negara dan pemilihan atlet bukan dibuat kerana dia daripada bangsa tertentu tapi kita memilih atlet terbaik untuk mewakili negara.



“Siapa yang bagus dialah yang mewakili negara tidak kira bangsa apapun,” katanya.

Manshahar ketika ditemui berkata, biarpun dalam sukan olahraga ada sesetengah acara dikuasai oleh bangsa tertentu seperti jarak jauh yang dikuasai oleh atlet India, namun tegas Manshahar ia sebenarnya satu trend yang menjadi ikutan.

“Sebenarnya sukan atau acara yang dimonopoli kaum tertentu itu dilihat sebagai trend. Contoh bola keranjang, ada saja atlet Melayu yang main bola keranjang tetapi mereka tiada dalam skuad.

“Ini bukan budaya tapi satu trend. Dalam olahraga juga contohnya, acara jarak jauh dulunya dikuasai oleh atlet India seperti pemegang rekod 10,000m M Ramachandran. Bila dia berjaya, dia dijadikan ikon,” katanya.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button