Pemandu treler maut tercampak
KUALA KANGSAR: Seorang lelaki maut selepas lori treler muatan kotak terpakai yang dipandunya terbabas ke bahu jalan di Kilometer 257, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, berhampiran Terowong Menora, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob, berkata nahas menyebabkan pemandu lori treler berkenaan yang dikenal pasti sebagai Budi Abd Rahim, 52, disahkan maut di lokasi kejadian.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang sedang memandu dipercayai hilang kawalan menyebabkan treler dipandu terbabas dan melanggar besi penghadang di bahu kiri jalan.
“Mangsa dipercayai tercampak keluar dari treler dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala. Bedah siasat ke atas mayat akan dijalankan hari ini di Hospital Kuala Kangsar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata, panggilan kecemasan berhubung kejadian diterima jam 5.40 pagi tadi dengan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar dibantu oleh BBP Meru Raya digerakkan ke lokasi.
“Katanya, nahas membabitkan sebuah lori treler terbabas di bahu jalan dan mangsa dipercayai pemandu treler ditemukan tersepit antara pembahagi jalan. Anggota bomba mengeluarkan mangsa daripada tersepit sebelum menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Plustrafik menerusi ciapan di Twitter memaklumkan, nahas itu mengakibatkan semua lorong menghala utara terhalang dan aliran trafik terhenti sebelum laluan kontra mula dibuka kira-kira jam 7.21 pagi tadi, disusuli pembukaan di lorong kanan jam 8.48 pagi.
BHOnline