Tengku Maimun pengerusi panel dengar rayuan kes akhir Najib

PUTRAJAYA: Rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dihadapi Datuk Seri Najib Razak akan didengar panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Turut bersidang, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan tiga hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Nalini Patmanathnan, Datuk Mary Lim Thiam Suan serta Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.



Najib merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember tahun lalu, yang mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Najib selepas didapati bersalah atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan menyalahgunakan kuasa dan tiga tuduhan pengubahan wang haram dana SRC International.

Terdahulu, Najib tiba di Istana Kehakiman menaiki kereta Mercedes Benz diiringi polis dan pasukan pembelaan.

Peguamnya, Hisyam Teh Poh Teik (tengah) bersama beberapa peguam bela lain kelihatan tiba di perkarangan Istana Kehakiman pada jam 8.15 pagi, manakala sekumpulan individu dipercayai penyokong bekas Perdana Menteri itu turut hadir mulai jam 8.50 pagi.

BHonline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button