Southgate sedia dikritik tewas lagi kepada Itali
MILAN: Gareth Southgate berkata dia sedia menerima kritikan daripada penyokong England selepas pasukannya sekali lagi tewas di tangan juara Euro 2020, Itali awal pagi tadi dan tersingkir daripada divisyen utama Liga Negara-Negara.
Kekalahan 1-0 di San Siro membuatkan England tiada kemenangan daripada lima perlawanan dan mereka kini bimbang berikutan kekurangan gol dengan hanya satu lagi aksi sebelum bermula Piala Dunia Qatar.
England tidak menjaringkan gol dalam permainan terbuka aksi Liga Negara-Negara musim ini dan Southgate diejek penyokong di Milan selepas kekalahan yang menyaksikan mereka kini jatuh ke Liga B.
“Sangat sukar untuk menunjukkan kenapa kami tidak menjaringkan gol, kerana saya rasa kami sudah berada di kawasan yang betul,” kata Southgate kepada wartawan.
“Kami ada peluang yang kami pernah dapat sebelum ini tetapi kami tidak berupaya menghasilkan penyudah berkualiti malam ini.
“Saya faham dengan reaksi diterima pada penghujung kerana keputusan yang kami terima dalam kejohanan ini dan saya faham reaksi emosi yang ditunjukkan.”
Southgate menegaskan dia tidak hilang semangat dengan apa yang ditunjukkan ketika England bukan hanya gagal menjaringkan gol tetapi juga bergelut untuk mencipta peluang walaupun memiliki penyerang berbakat seperti Harry Kane, Phil Foden dan Raheem Sterling.
“Ia sukar buat saya melihat persembahan kami, kami lebih banyak mengawal bola, lebih banyak cubaan, banyak cubaan ke gol, saya rasa dalam sebahagian besar aksi kami bermain baik,” kata Southgate.
“Kami tidak menangani saat yang penting secara bertahan dan kami ada peluang untuk lebih menyerang pada penghujung tetapi kualiti kami tidak berapa bagus malam ini,” katanya.
Gol dijaringkan Giacomo Raspadori pada minit ke-68 memberikan kemenangan buat Itali berdepan skuad Gareth Southgate.
AFP